Kenyataan Penuh Bekas Rakan Kongsi Rohaizat Menafikan Tuduhan Umno
post info
By Anwar Ibrahim

Pada tahun 2002, Koperasi Pekebun Getah Pulau Pinang Berhad mencadang membeli sebidang tanah untuk meluaskan perniagaan mereka dan telah melantik Firma Guaman Saif Ariff and Rohaizat untuk menguruskan pembelian tanah tgersebut.
Saya dan Rohaizat telah berbincang dengan lembaga pengarah koperasi tentang syarat syarat perjanjian jual beli. Setelah semua dipersetujui saya telah menyediakan perjanjian jual beli tanah tersebut.
Untuk tujuan pembelian ini, koperasi telah memohon pinjaman RM320,000 dari Jabatan Pembangunan Koperasi. Pinjaman tersebut telah diluluskan dan wang tersebut dideposit ke dalam akaun klien di firma guaman.
Namun atas sebab masalah komunikasi dengan penjual, yang tinggal di Acheh, jual beli tersebut telah tidak disempurnakan.
Dalam pada itu, koperasi memerlukan sejumlah wang untuk tujuan pengembangan perniagaan mereka. Yusri telah menandatangan satu cek berjumlah RM100,000 atas nama koperasi dan diberikan kepada pihak koperasi. Maka baki RM220,000 masih tersimpan di dalam akuan firma.
Sementara itu, seorang pelanggan, kenalan Rohaizat yang telah membeli sebidang tanah dengan harga RM130,000 telah memohon jasabaik firma (guaman) untuk membiayai bayaran baki RM100,000. Beliau terdahulu telah membayar RM30,000 kepada penjual.
Firma telah bersetuju untuk meminjamkan RM100,000 yang diambil dari wang koperasi kepada pelanggan (tersebut) untuk menyempurnakan jualbeli tanah tersebut dengan syarat beliau membayar balik pinjaman.
Setelah pelanggan gagal membayar balik pinjaman, Rohaizat telah berbincang dan bersetuju untuk mengambil alih milik tanah berkenaan dan melupuskan pinjaman tersebut.
Malangnya, firma gagal menjual keseluruhan tanah (tersebut) sebagai pecahan lot dan tidak dapat membayar kembali wang koperasi yang telah digunakan.
Sebahagian daripada baki dalam akaun pelanggan dan akaun syarikat telah digunakan untuk memberi pinjaman kepada salah seorang pengarah sebuah syarikat pemaju perumahan yang juga kenalan Rohaizat yang menghadapi masalah kewangan yang teruk dan juga untuk pengurusan cawangan baru firma di Ipoh.
Saya bertanggungjawab menguruskan cawangan firma di Ipoh, sementara Rohaizat menumpu sepenuhnya di firma Butterworth.
Saya tidak lagi memantau akaun-akaun pelanggan di cawangan Butterworth sehinggalah saya meninggalkan firma pada November 2003.
Merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Ahmad Maslan seperti yang dilaporkan oleh Utusan Online bertarikh 19 Ogos 2009 bahawa Rohaizat tidak mempunyai apa-apa penglibatan dan tidak tahu menahu tentang perkara tersebut, saya ingin tegaskan bahawa ia adalah satu pembohongan.
Ini adalah kerana segala urusan pembelian tanah tersebut dan penggunaan wang koperasi di buat dengan pengetahuan dan penglibatan Rohaizat seperti yang dijelaskan di atas.
Mana mungkin pengaliran keluar dan masuk wang dalam sesuatu akaun syarikat tidak diketahui oleh Rohaizat yang juga penandatangan yang sah untuk akaun-akaun tersebut.
Sepatutnya Rohaizat menceritakan perkara sebenar dan tidak meletakkan tanggungjawab dan kesalahan hanya kepada rakan kongsi untuk membebaskan dirinya sendiri.
Merujuk kepada kepada kenyataan Ahmad Maslan yang mengangkat Rohaizat sebagai “wira” kerana membayar balik wang koperasi baru-baru ini, saya ingin tegaskan sesungguhnya beliau sewajarnya menyelesaikan pembayaran pada 2003 lagi ketika cawangan Ipoh telah menjana pendapatan yang agak lumayan.
Seyugia diingatkan bahawa cawangan Ipoh ditubuhkan dan diuruskan dengan sebahagiannya menggunakan wang dari akaun klien koperasi pekebun getah Pulau Pinang.
Layakkah title itu diberikan oleh Ahmad kepada Rohaizat? Saya percaya Ahmad Maslan tidak sedar akan kedudukan sebenarnya atau lebih malang lagi kalau beliau sengaja berpura-pura tidak tahu?
Wirakah Rohaizat ketika enggan, cuai, dan gagal menghadirkan diri di hadapan Majlis Peguam pada 14 September 2007 untuk memberi penjelasan ke atas satu kes besar yang beliau hadapi.
Dakwaan Ahmad Maslan bahawa Rohaizat tidak mempunyai apa-apa penglibatan atau pengetahuan mengenai transaksi jual beli tanah itu, menggambarkan Rohaizat selaku senior partner di dalam firma tersebut, tidak tahu apa-apa tentang urustadbir pejabat.
Apakah dakwaaan Ahmad Masalam ini lojik dan munasabah? Transaksi sebesar ratusan ribu yang dijalankan rakan kongsinya, didakwa tidak diketahuinya?
Tidak masuk akal langsung sebagai seorang yang berpendidikan tinggi!
Saya berharap dengan penjelasan ini, saya dapat membersihkan diri saya daripada dikambinghitamkan dalam kes kecuaian Rohaizat yang membawa kepada pembatalan pendaftaran beliau sebagai penguambela dan peguamcara.
Layari http://suararohani.blogspot.com/