Teater Menunggu Kata Dari Tuhan di Muzium Selangor

ADA perkara menarik yang ingin dikupas pengarah teater terkenal, Shamsudin Othman atau lebih dikenali sebagai Dinsman apabila memilih untuk mementaskan teater Menunggu Kata Dari Tuhan yang mengangkat kisah junjungan nabi besar kita, Nabi Muhammad saw yang sudah pun menemui khalayak Auditorium Muzium Negeri Selangor, Shah Alam pada jam 9 malam mulai semalam hinggalah 3 Mei ini.

Karya yang diadaptasi daripada hadis riwayat Bukhari dan Muslim itu mengisahkan dilema yang dialami seorang sahabat nabi, Kaab Malik, akibat tidak mengikuti Rasulullah saw dalam peperangan Tabuk.

"Akibatnya, Kaab diboikot sahabat-sahabat selama 50 hari dan akhirnya Allah SWT menurunkan



wahyu kepada baginda Rasulullah bahawa Allah menerima taubat Kaab," jelas Dinsman kepada Hip.

Bukan saja sebuah hadis popular, malahan jelas Dinsman hadis itu juga begitu sesuai untuk diangkat sebagai naskhah teater kerana ia juga mempunyai jalan cerita yang menarik.

"Saya rasa pementasan ini memang sesuai untuk mereka yang begitu dahagakan teater bercorak Islam dan hadis ini memang sesuai untuk dipentaskan kerana ia juga mempunyai banyak pengajaran yang boleh diambil serta berunsur dramatik," katanya.

Sebelum ini naskhah milik Kumpulan Teater Elit ini pernah dipentaskan di Kelantan sempena Majlis Santapan Diraja dan pementasan terbuka di Dewan Pementasan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kota Bharu pada Mac lalu dan sambutan yang diterima cukup menggalakkan.

Teater yang mengambil masa selama 45 minit akan dijayakan oleh pelakon terkenal, Sabri Yunus serta dibantu Sani Sudin sebagai penggesek biola.

Sementara itu menurut Sabri, sebagai Kaab dia berdepan dengan cabaran besar kerana teater ini berbeza dengan apa yang pernah dilakonkannya sebelum ini.

"Ini adalah berdasarkan kisah benar dan sebagai pelakon saya cuba menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan sebaik mungkin. Pun begitu saya akui ia benar-benar memberi cabaran buat saya kerana saya tidak dapat mencari rujukan watak Kaab ini dan pada masa yang sama saya perlu sampaikan kepada penonton perasaan yang dialami Kaab pada masa itu.

"Perasaan yang dirasakan Kaab ketika melalui saat-saat getir itulah yang menjadi inti pati teater ini dan andai itu tidak dapat saya berikan penonton, sebagai pelakon pasti ia cukup mendukacitakan," jelas Sabri yang hadir ke Balai Berita baru-baru ini bersama penerbit teater berkenaan Wan Omar Ahamad atau lebih dikenali Sutung Umar Rs.

Menurut Sabri lagi, teater ini juga memerlukan dia bermonolog dan diakui tugasan itu bukanlah sesuatu yang mudah buatnya.

"Paling ketara, pastinya saya terpaksa menghafal banyak dialog. Namun dengan pengalaman yang saya ada serta bantuan pengarah, saya akan berusaha menghidupkan watak Kaab sebaik mungkin," janjinya.

Penonton yang berminat untuk menyaksikan teater itu bolehlah membeli tiket pada harga RM10. Jumlah itu juga membolehkan mereka memiliki senaskhah buku membabitkan teater itu.

Suara Harapan