Pak Lah: ADUN Pakatan mungkin sertai BN
SERTAI BN... Kehilangan ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi (kiri) dan ADUN Changkat Jering, Kapt (B) Mohd Osman Jailu (kanan) terus menjadi tanda tanya hingga ada yang beranggapan mereka akan menyertai Barisan Nasional (BN).
[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Seminggu selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata, ada kemungkinan ADUN Pakatan Rakyat di Perak menyertai Barisan Nasional.
"Insya-Allah betul kot," kata beliau.
Pengerusi BN itu ditanya mengenai khabar angin yang tersebar luas bahawa beberapa ADUN dari Pakatan Rakyat di Perak akan menyertai Umno dan BN.
Terdahulu, Abdullah melancarkan sambutan dan Festival Hari Wilayah Persekutuan di Tasik Titiwangsa di sini.
Dipetik Bernama, Abdullah yang juga Presiden Umno berkata, mereka ingin menyertai Umno kerana yakin dengan perjuangan parti itu.
"(Mereka akan) diterima dengan baik kerana itu pilihan mereka dan mereka hendak menyertai kita dalam perjuangan yang lebih besar dalam Umno dan BN... menjadi satu pengalaman baru dan memberi kesempatan untuk berjuang (dalam BN)," kata Abdullah.
Bagaimanapun, Abdullah tidak menyebut jumlah wakil rakyat dari PR yang akan menyertai BN ketika ditanya mengenai perkara itu walaupun, pemberita berdasarkan sumber yang mereka tahu, menyebut beberapa angka.
Abdullah juga ditanya sama ada ADUN dari PR di Perak yang disebut-sebut akan menyertai BN sudah pasti untuk berbuat demikian ataupun telah menyertai BN.
"Bila semua dah jadi tentulah kita buat pengumuman (secara rasmi)," katanya.
Perdana Menteri juga diminta mengulas sama ada terdapat kemungkinan akan ada wakil rakyat PR dari negeri lain, selain Perak, yang akan menyertai Umno dan BN.
"Kemungkinan tetap ada di mana-mana pun. Bila kita nak meramaikan ahli Umno ia terbuka untuk sesiapa juga. Bukan kita kata orang ini jangan. Kita hendak kalau datang dari parti lain nak masuk Umno (kita terima)," katanya.
Abdullah juga ditanya sama ada terdapat arahan untuk memancing ADUN PR di Perak sebagai membalas tindakan kerajaan PR di sana yang berjaya membawa masuk ADUN BN dari Bota, Datuk Nasarudin Hashim menyertai PR baru-baru ini.
Perdana Menteri menafikan wujudnya arahan sedemikian.
"Kita tidak pernah beri arahan (sedemikian)...kata oh depa dah curi orang kita..kita curi orang depa," katanya.
Berhubung cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memasukkan undang-undang antilompat parti, Abdullah berkata:
"Yang ini kita tengoklah apa kehendak dan kita beri peluang kepada pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)...parti-parti politik (untuk memberi pendapat). Selama ini kita beri kebebasan...tidak ada masalah yang timbulpun," katanya.
Mengenai kebimbangan tentang amalan politik wang menjelang lebih kurang dua bulan lagi pemilihan peringkat tertinggi dalam Umno, Abdullah berharap tidak akan ada lagi perbuatan sedemikian.
"Tak baik politik wang... memalukan kita. Saya harap tak berlaku lagi. Ada dua bulan lagi sebelum mesyuarat. Jangan buat apa-apa perkara (seperti itu)," katanya.
Abdullah juga ditanya mengenai ada Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno yang telah menyatakan rasa kurang puas hati tentang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika mesyuarat MT Khamis lepas.
Perdana Menteri berkata tidak timbul soal mereka menolak SPRM.
"Bukan begitu. Perbincangan hanya berkisar mengenai satu laporan yang diberikan kepada polis berkaitan cara anggota Umno yang disoal siasat oleh SPRM. Itu yang dibangkitkan bukan membenci ataupun manolak SPRM," katanya.
Abdullah juga ditanya mengenai terdapat dakwaan anggota tersebut dipukul ketika dalam siasatan.
"Cara yang mereka (SPRM) buat. Ini yang mereka tak mahu. Jangan buat lagilah macam ini. Mereka ini bukanlah berupa seorang penjenayah. Walau apa pun saya harap cara siasatan dibuat adalah dengan mengikut undang-undang," katanya.
SPRM telah mewujudkan satu pasukan khas bagi menyiasat dakwaan bekas Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Maran berkaitan penggunaan kekerasan oleh pegawai SPRM semasa menjalankan siasatan.
Sebuah akhbar telah melaporkan seorang pemimpin Umno Bahagian Maran, Pahang mendakwa antara lain beliau dipukul oleh pegawai SPRM di kepala, bahu dan perut semasa direman empat hari di Kuantan.
Berikutan itu, beliau telah membuat laporan polis.Suara Harapan
Ahad, 1 Februari 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
ADUN PKR: Kami masih wakil rakyat, mahu cabar Speaker
ADUN Behrang mahu cabar kesahihan kenyataan Speaker
Oleh G. MANIMARAN dan ARIFFUDDIN ISHAK
MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (tengah) menjawab soalan wartawan selepas mengadakan mesyuarat tergempar dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat di kediamannya hari ini. - foto The Star oleh ZABIDI TUSIN
[DIKEMAS KINI, 11 MALAM] PETALING JAYA: Kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat, berusia 11 bulan, kini menuju ketidaktentuan dengan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), yang diisytihar tela melepaskan kerusi masing-masing hari ini, mahu mencabar kesahihan kenyataan Speaker.
Pendirian kedua-dua ADUN itu, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang menafikan telah menghantar surat letak jawatan hari ini, dijangka akan mengusutkan senario politik Perak.
Kira-kira dua jam selepas kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri V. Sivakumar, ADUN Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan rakan sejawatannya dari Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu berkata, surat peletakan jawatan itu yang dimaksudkan beliau itu sebenarnya telah ditandatangani 8 Mac lalu.
"Surat tanpa tarikh itu ditandatangani oleh tujuh ADUN PKR kerana kerajaan negeri bimbang kami akan menyertai Barisan Nasional (BN).
"Nampaknya surat ini telah diguna pakai untuk mengumumkan kononnya kami meletak jawatan.
"Ini satu pembohongan dan saya akan berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya," Jamaluddin berkata demikian ketika dihubungi Bernama beberapa jam selepas Speaker mengumumkan mereka meletakkan jawatan.
MASIH ADUN PKR
"Saya dan Mohd. Osman sehingga kini masih ADUN PKR dan belum pernah mengisytiharkan untuk keluar daripada parti, calon Bebas pun tidak, ataupun mengumumkan menyertai Umno," kata Jamaluddin.
Mengenai dakwaan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa mereka hilang sejak Isnin lepas, Jamaluddin berkata, beliau sebenarnya mengambil cuti sakit sejak Rabu.
"Surat MC ada di pejabat saya, jadi saya bukan hilang," katanya.
Bagaimanapun, ketika ditanya di mana beliau berada semasa dikatakan "hilang", Jamaluddin enggan mengulasnya.
Petang tadi, kata Sivakumar, dua ADUN berkenaan yang didakwa "hilang" dan "tidak dapat dihubungi" sejak lima hari lalu, meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat berkuat kuasa hari ini.
mStar Online difahamkan ada wakil rakyat yang menandatangani surat letak jawatan sebagai ADUN, yang tidak bertarikh.
Perkembangan terbaru itu diketahui kira-kira enam jam selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengatakan ada kemungkinan mereka akan sertai BN manakala Menteri Besar Perak pula mencabar kedua-dua ADUN berkenaa keluar dan mengisytiharkan jika benar telah memasuki BN. Perkembangan petang ini membuka laluan kepada pilihan raya kecil - pilihan raya kecil peringkat negeri yang pertama sejak pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.
Dua pilihan raya kecil kerusi Parlimen telah diadakan di Permatang Pauh, Pulau Pinang Ogos lalu dan Kuala Terengganu, Terengganu bulan lalu.
Dengan keputusan meletakkan jawatan itu, Jamaluddin dan Mohd. Osman tidak boleh bertanding semula dalam pilihan raya untuk tempoh lima tahun akan datang.
Jamaluddin, 52, adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan manakala Osman, 57, pula pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.
Sebelum ini kedua-dua mereka menghadapi tuduhan rasuah melibatkan kelulusan sebuah projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dan perbicaraan kes berkenaan akan didengar di Mahkamah Sesyen pada 10 Februari ini.
Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Jamaluddin menerima 6,771 undi untuk menewaskan calon BN, Datuk M. Ramasamy yang mendapat 5,744 undi.
Mohd. Osman pula menang dengan majoriti 1,102 undi bagi merampas kerusi DUN Changkat Jering. Beliau memperoleh 9,411 mengalahkan penyandang dari BN yang juga Yang Dipertua DUN Perak sebelum itu, Datuk Mat Isa Ismail yang mengumpul 8,309 undi.
DISAH SPEAKER
Ia dinyatakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar di Ipoh pukul 5.45 petang tadi.
Kata beliau, kedua-dua mereka menghantar surat menggariskan keputusan itu menerusi faks yang dihantar ke rumahnya.
"Kedua-dua Mohd. Osman dan Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai ADUN berkuat kuasa serta-merta dan saya menerima peletakan jawatan mereka di bawah Perkara XXXV Perlembagaan Negeri.
"Sebagai Speaker, saya akan mengumumkan kedua-dua kerusi N14 Changkat Jering dan N59 Behrang kosong secepat yang mungkin," kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Speaker akan memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara rasmi esok untuk memaklumkan perkembangan tersebut.
Pakatan Rakyat mempunyai 32 anggota di Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang menyertai PKR pada Ahad lalu manakala BN dianggotai 27 wakil dan walaupun dua Adun PKR berkenaan keluar, kerajaan negeri masih mempunyai majoriti satu kerusi.
REAKSI MB PERAK
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika dihubungi mStar Online berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan akan meminta supaya SPR mengadakan pilihan raya kecil.
"Sah kedua-dua mereka (ADUN) letak jawatan... saya telah dimaklumkan mengenainya sebentar tadi," katanya.
Ketika ditanya sama ada kecewa dengan keputusan mereka, pemimpin dari PAS itu memberitahu: "Bukan soal kecewa tapi ini menunjukkan Umno dan BN bertindak jahat memancing orang kami."
SPR TUNGGU NOTIS
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya akan mengambil tindakan susulan termasuk memanggil pilihan raya kecil jika menerima pengesahan rasmi mengenai kekosongan yang wujud.
"(Berdasarkan maklumat media)... maknanya sudah ada kekosongan... SPR apabila menerima surat tentang kekosongan akan mengambil langkah-langkah perlu," katanya.
[URUTAN SEMASA SEMINGGU]:
1 FEBRUARI, 9.30 MALAM:Di IPOH: ADUN Behrang menafikan yang beliau ada menghantar surat letak jawatan kepada Speaker DUN dan mahu mencabar kesahihannya.
1 FEBRUARI, 6.40 PETANG:Di PETALING JAYA: Menteri Besar Perak hampir yakin kedua-dua ADUN Behrang dan Changkat Jering akan keluar Pakatan Rakyat.
1 FEBRUARI, 5.45 PETANG:Di IPOH: Dua ADUN perak daripada PKR yang "hilang" sejak Isnin lalu mengumumkan peletakan jawatan serta-merta. ADUN Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu menyerahkan surat peletakan jawatan itu di rumah beliau pada 5.45 petang tadi.
1 FEBRUARI, 10 PAGI: Di KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata ada kemungkinan ADUN dari Pakatan Rakyat di Perak akan menyertai BN.
1 FEBRUARI, 11 PAGI: Di IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meminta dua ADUN dari PKR yang "hilang" sejak Isnin lepas supaya mengisytiharkan segera pendirian jika telah keluar daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak.
31 JANUARI: Di KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Tertinggi PKR bermesyuarat malam ini dengan membincangkan secara mendalam isu ADUN Behrang Jamaluddin Mat Radzi dan ADUN Changkat Jering. Ia juga beranggapan bahawa kedua-dua mereka sudah hampir pasti keluar PKR.
30 JANUARI: Di IPOH: Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan laporan mengenai anggota exco kerajaan negeri, Jamaluddin Mohd Radzi dan Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu, kedua-dua daripada PKR, akan menyertai BN.
29 JANUARI: Di KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan Pengerusi BN Perak bagi menggantikan Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali yang meletak kedua-dua jawatan itu berkuat kuasa serta-merta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan Timbalan Pengerusi BN Perak.
25 JANUARI: Di KUALA LIMPIR: ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim keluar Umno dan BN untuk menyertai PKR dan Pakatan Rakyat.
Catat Ulasan