Ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa Sukar ditunaikan?
Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
ainul@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 19 Jan. - Kerajaan dijangka menanggung perbelanjaan yang lebih tinggi sekiranya terpaksa 'tunduk' kepada gesaan terutamanya sektor industri supaya harga gas dan tarif elektrik diturunkan.
Para penganalisis ekonomi tempatan tidak menolak harga gas dan tarif mungkin dikurangkan untuk memastikan sektor itu dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam saat menghadapi kegawatan ekonomi dunia.
Bagaimanapun, pada masa yang sama kerajaan bakal menanggung kos kerana perlu membayar pampasan dalam pelbagai bentuk kepada Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas).
Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Menteri di Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Joseph Salang hari ini berkata, Unit Perancangan Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri akan mengumumkan akan mengumumkan harga baru gas tidak lewat Jun ini.
Ketua Pegawai Pelaburan ASM Investment Services Bhd., Rusli Abu Yamin menjelaskan, kalau mahu diukur pada kemampuan TNB, syarikat utiliti itu memang tidak berupaya untuk mengurangkan tarif elektrik.
Ia kerana, sejak krisis ekonomi global, TNB mengalami penyusutan permintaan penggunaan elektrik daripada pelbagai sektor.
Menurut beliau, masalah itu ditambah lagi dengan pengukuhan mata wang Amerika Syarikat (AS) dan yen yang menyebabkan hutangnya semakin bertambah serta tidak termasuk lagi harga arang batu yang kini kembali stabil.
''Meskipun harga arang batu pernah jatuh daripada AS$150 (RM525) kepada AS$90 (RM315) bagi setiap tan tetapi ia tidak banyak membantu TNB kerana TNB telah membeli sumber galian tersebut pada AS$110 (RM385) setan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, masalah-masalah yang dihadapi oleh TNB itu turut mempengaruhi harga saham syarikat tersebut apabila susut pada hari ini kepada RM6.050.
Mengikut carta, TNB telah mengalami penurunan mendadak berbanding pada harga tertinggi sekitar RM12 sebelum ini.
Oleh sebab itu, sekiranya kerajaan terpaksa menuruti permintaan industri, kerajaan perlu memberi pampasan kepada TNB atau memberikan subsidi.
Rusli juga berkata, dalam keadaan sekarang, kerajaan sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan kerana sekiranya kos tersebut tidak diturunkan ia akan menjejaskan pelaburan asing ke negara ini.
Sementara itu, Ketua Penyelidik Kumpulan RAM Bhd., Dr. Yeah Kim Leng pula percaya Petronas sukar untuk merealisasikan hasrat industri supaya harga gas diturunkan kerana harga bahan bakar global itu tidak susut seperti minyak sawit.
''Memang agak sukar untuk Petronas menurunkan harga kerana adalah mustahil firma petroleum negara akan menurunkan harga ketika harga gas di pasaran dunia masih kukuh.
''Kalau hendak turunkan pun mungkin tidak sebanyak yang diminta,'' tambah beliau.
Mengulas lanjut, Kim Leng berkata, dalam keadaan sekarang industri tempatan memang tidak mampu beroperasi dengan kos gas dan tarif elektrik yang ditetapkan sekarang memandangkan permintaan bagi produk merosot.
''Kalau kedua-dua kos ini tidak diturunkan, industri mungkin terpaksa mengurangkan pekerja dan ini akan lebih merumitkan lagi,'' ujarnya.
Ketua Penyelidikan MIMB Investment Bhd. Pong Teng Siew berkata, dalam situasi semasa, sama ada Petronas mahupun TNB memang sukar untuk menurunkan harga gas dan elektrik.
Jelas beliau, secara logiknya ketika harga gas meningkat, Petronas memang berupaya menurunkan harga kerana semasa itu permintaan meningkat tetapi jika keadaan sebaliknya memang sukar.
Tambahnya, sekiranya kerajaan terpaksa akur dengan permintaan industri, kerajaan terpaksa menanggung subsidi atau membayar pampasan kepada kedua-dua syarikat miliknya.
''Kerajaan nampaknya tidak banyak pilihan, sekiranya tidak mengikut permintaan industri, ia akan mengakibatkan lebih banyak kilang ditutup dan terpaksa menghadapi masalah pengangguran,'' kata beliau.
''Tetapi kalau memenuhi permintaan industri, maka kerajaan terpaksa menanggung beban TNB dan Petronas,'' tambahnya.Suara Harapan
Selasa, 20 Januari 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan