Mahkamah arah Samak undur
PENANTIAN BERAKHIR: Penyokong antikerajaan yang berhimpun di Bangkok sejak 26 Ogos lalu bersorak selepas mahkamah memutuskan Samak melanggar Perlembagaan, semalam.

Penyokong berjanji kembalikan kedudukan Perdana Menteri Thailand

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Samak Sundaravej dan seluruh Kabinetnya perlu meletak jawatan, semalam, selepas Mahkamah Perlembagaan memutuskan beliau melanggar Perlembagaan dengan menjadi hos rancangan masakan di televisyen.

Bagaimanapun, penyokong beliau berikrar untuk mengembalikan kuasa kepada Samak, yang menunjukkan Thailand masih belum tenang daripada krisis politiknya yang melumpuhkan kerajaan, menjejaskan pasaran kewangan dan menjauhkan pelancong.



"Defendan melanggar Artikel 267 Perlembagaan dan kedudukannya sebagai Perdana Menteri berakhir," kata Ketua Panel Sembilan Hakim, Chat Chonlaworn.

Beliau berkata, Kabinet akan kekal sebagai kerajaan sementara sehingga pentadbiran baru dilantik.

Keputusan itu, yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan radio, disambut sorakan kuat dan tepukan oleh penentang Samak yang menawan pekarangan pejabatnya sejak 26 Ogos lalu untuk menuntut beliau meletak jawatan.

Samak, yang sukakan makanan menjadi hos rancangan masakan popular televisyen, Tasting and Complaining - selama tujuh tahun sebelum menjadi Perdana Menteri. Namun, beliau membuat beberapa kemunculan selepas mengambil alih jawatan itu, yang melanggar larangan Perlembagaan mengenai pekerjaan peribadi ketika menjawat jawatan Perdana Menteri.

"Pekerjaannya di syarikat itu boleh dianggap sebagai pekerjaan," kata Chat.

Beliau berkata, Samak memberikan 'keterangan berbeza' dan ada cubaan memalsukan bukti 'bagi menyembunyikan tindakannya.'

Sebelum mahkamah memulakan sesi, Samak berkata, beliau akan menghormati keputusan. Beliau tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan kenyataan.

Keputusan itu memberikan kemuncak memeranjatkan kepada berminggu-minggu ketidaktentuan politik di negara itu, bermula dengan pencerobohan ke atas kompleks pejabat Samak oleh beribu-ribu anggota Pakatan Rakyat bagi Demokrasi (PAD), penduduk kaya dan pertengahan serta aktivis kesatuan sekerja.

Mereka menuduh Samak mengamalkan rasuah dan berkhidmat sebagai proksi kepada bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, yang disingkirkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006 berikutan demonstrasi jalanan, juga diketuai PAD. - AP

Suara Harapan