Bajet potong pokok banyak, mana untuk seni?
Posted on Monday, September 22 @ 18:00:20 MYT by reformis

Oleh Dinsman

Saya menerima beberapa respons yang tak diduga terhadap tulisan-tulisan mengenai kebudayaan dan kesenian dalam kolum ini. Termasuk daripada kawan-kawan yang dekat. Kata mereka, kini baru mereka nampak manfaatnya aktiviti seni dan budaya dalam kehidupan manusia. Dan mereka minta saya menulis lagi mengenai perkara itu.

Ah, rupa-rupanya begitu. Saya pun tak terfikir pula selama ini yang ramai orang tidak nampak sebab mengapa perlunya diadakan aktiviti seni dan budaya. Rupa-rupanya pemikiran tentang seni dan budaya pun bukannya sesuatu yang lumrah di kalangan masyarakat kita.

Tidak hairanlah ya, apabila pimpinan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan di Selangor, Mac lalu, misalnya, mereka tidak terfikir pun akan kesenian dan kebudayaan. Demikian banyaknya portofio yang difikirkan untuk sepuluh orang Exco bagi sebuah kerajaan negeri yang dikatakan termaju di Malaysia, tidak terfikir pun mereka akan portfolio kebudayaan atau kesenian.

Langsung tak penting kebudayaan dan kesenian ini. Tak wujud pun dalam perancangan pembentukan sebuah kerajaan. Amboi, amboi, sedihnya!

Sempena 100 hari pentadbirannya pada 20 Jun, kerajaan Selangor menerbitkan sebuah buku kecil "100 Hari Pentadbiran Kerajaan Baharu Selangor: Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor, Fasa 1". Di dalamnya disenaraikan nama dan portfolio 10 orang Exco tersebut. Anda bacalah. Macam-macam portfolio ada. Hanya kebudayaan dan kesenian tak ada.

Sepatutnya sudah ada pada waktu itu, sebab sebelum itu saya sudah bertanya kepada pihak berkenaan, kerana saya dan kawan-kawan hendak mengadakan satu aktiviti kebudayaan. Mulanya mereka merujuk kepada portfolio "Adat-Adat Melayu" yang dipegang Dato' Dr Hassan Ali. Saya kata itu bukan portfolio kebudayaan. Itu adat Melayu. Kebudayaan bukan hanya adat, dan bukan terhad kepada Melayu sahaja. Kebudayaan meliputi semua kaum.

Tak berapa lama selepas itu portfolio "Kebudayaan" pun diwujudkan, iaitu ditambah kepada Rodziah Ismail yang sedia memegang portfolio "Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi". Maka pada petang 27 Jun 2008, kepada beliaulah diserahkan "Resolusi PAKSI" yang mencadangkan 10 perkara itu.

Tetapi nampaknya memang begitulah. Pemikiran mengenai kebudayaan dan kesenian memang tidak ada dalam perancangan. Mereka lebih sibuk memikirkan dan merancang perkara-perkara lain. Kepentingan kebudayaan dan kesenian dalam kehidupan manusia hari ini, seperti kata kawan-kawan yang dekat dengan saya itu, memang orang kebanyakan tak nampak.

"Mesti ada usaha untuk menampakkannya. Timbulkan kesedaran dan juga pengetahuan mengapa sebenarnya kebudayaan dan kesenian itu penting dan perlu ada dalam perancangan pentadbiran sebuah negeri," tegas kawan saya.

Maka saya pun mulailah berfikir ke arah itu. Kebetulan sekarang ada beberapa orang kawan yang menjadi Ahli Majlis Perbandaran. Pernah kami bercakap mengenai lanskap dan kerja-kerja menanam pokok, memotong pokok, membersih kawasan dan sebagainya. Ada berjuta ringgit peruntukan untuk kerja-kerja itu setiap tahun.

Manfaat dan faedahnya? Untuk keindahan. Cantik dipandang. Bersih. Seronok tengok. Misalnya bila kita masuk ke kawasan perumahan Subang Jaya atau Shah Alam, terasa lain pemandangannya. Cantik, tersusun, bersih, pokok-pokok menghijau, selesa mata memandang dan sebagainya.

Sebenarnya itulah juga manfaat dan faedahnya kebudayaan dan kesenian untuk manusia. Bagi menimbulkan keindahan, kedamaian, ketenangan, kepuasan, bahkan lebih lagi, kerana kebudayaan dan kesenian melibatkan manusia secara langsung. Ada aktiviti-aktivitinya yang boleh memberi pemahaman dan pengertian yang lebih terhadap manusia dan terhadap kehidupan.

Cuma bezanya yang satu lanskap tanah dan pemandangan fizikal, manakala yang satu lagi "lanskap jiwa" dan “lanskap minda". Yang satu dapat dilihat dengan mata, manakala yang satu lagi tak dapat dilihat dengan mata.

Dalam surat terbuka PAKSI kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim yang disiarkan dalam kolum ini beberapa keluaran lalu, saya menyatakan bahawa wacana budaya dan kesenian sangat diperlukan hari ini kerana bangsa kita "sedang kebengongan arah dan identiti, dan sedang kebengongan mengenai harga diri dan kemerdekaan jiwa". Wacana budaya dan kesenian boleh membantu merawat "kebengongan" itu.

Jadi soalnya ialah ia harus ada di dalam perancangan pentadbiran. Kalau di sana budaya dan kesenian tidak pernah wujud, maka tidak akan wujudlah peruntukan kewangan untuk melaksanakan program atau aktivitinya. Untuk memotong pokok di tepi jalan yang sudah kelihatan tidak cantik, majlis perbandaran boleh membayarnya sampai lebih seribu ringgit bagi satu pokok, supaya ia jadi lebih cantik dan tidak merbahaya.

Tetapi apabila kami membuat seminar kebudayaan dan memohon kerjasama supaya pihak kerajaan tolong membayar tiket kapalterbang dan hotel untuk seorang ketua jabatan kerajaan yang akan membentangkan kertas kerja, permohonan itu tidak dapat diluluskan, walaupun seminar itu diluluskan dan dibuat bersama dengan pihak kerajaan.

Jadinya nampak macam kerja potong pokok di tepi jalan itu jauh lebih tinggi nilainya daripada kerja membentangkan pemikiran mengenai kebudayaan dan kehidupan manusia. Nampaknya begitulah, 'kan!

Maka saya pun melihat semula program-program budaya dan kesenian yang ada dalam perancangan Paksi (perancangan Paksi, bukan perancangan kerajaan), kemudian cuba berfikir sendiri bagaimanakah pihak kerajaan negeri dapat melaksanakannya. Saya sendiri mendapatinya sukar. Sebab, soalannya ialah siapakah yang akan melaksanakannya?

Lalu saya terfikir - alangkah baiknya kalau majlis-majlis perbandaran menubuhkan satu jabatan yang seperti Jabatan Lanskap Taman itu. Cuma bezanya yang baru ini ialah jabatan lanskap jiwa dan minda, iaitu Jabatan Kebudayaan dan Kesenian. Fikirkan sebagaimana berfaedah dan bermanfaatnya lanskap taman fizikal itu, maka begitulah juga berfaedah dan bermanfaatnya lanskap jiwa dan minda ini.

Dan sebagaimana peruntukan perjawatan dan kewangan perlu diberikan kepada kerja-kerja potong pokok dan sebagainya bagi membina lanskap taman yang cantik itu, maka begitulah juga peruntukan perjawatan dan kewangan perlu diberikan untuk kerja-kerja menguruskan program dan aktiviti kebudayaan dan kesenian.

Kalau kita selalu masuk ke kawasan perumahan Subang Jaya dan Shah Alam, misalnya, kadang-kadang kita dapat saksikan betapa mewahnya mereka menukar pokok-pokok bunga di tepi jalan supaya selalu kelihatan segar; dan betapa mewahnya mereka berbelanja untuk membina lanskap-lanskap baru, supaya kawasan itu sentiasa kelihatan cantik dan menawan.

Soalnya sebenarnya bukanlah kita tidak ada dana atau kewangan untuk melaksanakan program dan aktiviti budaya dan kesenian yang bermutu tinggi mahupun bermutu sederhana. Soalnya sebenarnya ialah kita tidak mahu memikirkannya pun, 'kan!

Okeylah, yang lepas-lepas itu biarlah. Sekarang kita mulai agenda yang baru. Janganlah hanya fikirkan Agenda Ekonomi sahaja. Fikirlah juga Agenda Kebudayaan. Maka dalam konteks ini saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri Kelantan. Sebab apa? Sebab mereka memikirkan agenda kebudayaan. Tahun 2009 "Tahun Kebudayaan Kelantan".

----

Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408
Suara Harapan