PENGENALAN PERAKAUNAN
1.1 Perakaunan dan Pengurusan Perniagaan
Matlamat utama sesebuah perniagaan ialah untuk memperolehi keuntungan. Membeli dan menjual barang niaga atau menawarkan perkhidmatan adalah proses untuk mendapatkan keuntungan. Pengiraan untung atau rugi hanya boleh dibuat jika semua urusniaga kewangan direkodkan dalam buku-buku perniagaan.
Aspek terpenting dalam menguruskan perniagaan ialah pengurusan kewangan. Aspek terpenting dalam pengurusan kewangan ialah perakaunan. Asas kepada perakaunan pula ialah simpanan kira-kira yang sistematik, sempurna, kemas dan teratur.
1.2 Takrif Simpan Kira dan Perakaunan
Simpan Kira ditakrifkan sebagai satu cara merekod urusniaga-urusniaga kewangan supaya kedudukan kewangan perniagaan dan hubungannya dengan pemilik perniagaan dan pihak luar dapat diketahui.
Perakaunan pula ditakrifkan sebagai satu seni merekod, mengkelas, meringkas dan melaporkan urusniaga-urusniaga perniagaan dan mentafsir kesan-kesannya terhadap kegiatan perniagaan. Dengan itu merekod urusniaga, atau simpankira, dianggap sebagai langkah permulaan dalam proses perakaunan.
1.3 Penyimpan Kira-kira dan Akauntan
Pada umumnya seorang penyimpan kira-kira bertanggungjawab untuk merekod dan menyimpan akaun-akaun perniagaan. Seorang akauntan pula bertanggungjawab untuk merangka dan mengawal sistem simpankira dan menggunakan maklumat-maklumat yang diperolehi untuk menyediakan penyata kewangan serta memberi cadangan dan nasihat kepada pihak pengurusan.
1.4 Pentingnya Pengetahuan Perakaunan
Pengetahuan dan kemahiran asas mengenai simpankira dan perakaunan perlu dimiliki oleh usahawan. Bagi perniagaan kecil, menggajikan akauntan mungkin akan membebankan perniagaan. Oleh itu adalah wajar pemilik perniagaan menjalankan tugas-tugas tersebut pada peringkat permulaan sehinggalah perniagaan berkembang. Pada peringkat inilah seorang akauntan mungkin diperlukan. Adalah menjadi tanggungjawab pemilik perniagaan, pengurus atau akauntan untuk merangka dan menyediakan sistem perakaunan yang sesuai dengan jenis dan keperluan sesebuah perniagaan.
1.5 Langkah-Langkah Dalam Penyediaan Penyata Kewangan
Penyata-penyata kewangan hanya boleh memberi maklumat yang tepat mengenai prestasi dan kedudukan kewangan perniagaan sekiranya urusniaga-urusniaga kewangan telah direkodkan dengan betul di dalam buku-buku atau rekod-rekod yang sesuai. Peraturan mencatat urusniaga mengikut tatacara perakaunan yang betul adalah berpandukan kepada Kitaran Perakaunan.
1.6 Konsep Asas dan Amalan Perakaunan
Beberapa peraturan telah digunakan sebagai panduan dalam merekod aktiviti dan urusniaga perniagaan serta menyimpan dan membentang data perakaunan. Peraturan-peraturan tersebut biasanya dikenali sebagai Konsep Asas Perakaunan dan telah diterima pada umumnya dalam profesyen perakaunan. Walaupun konsep-konsep tersebut telah diterima pada umumnya dalam dunia perniagaan, namun pendekatan terhadap penggunaannya (amalan perakaunan) mungkin berubah dari semasa ke semasa terutama jika terdapat perubahan-perubahan dari segi keperluan perniagaan dan mereka yang menggunakan maklumat perakaunan perniagaan.
Beberapa konsep asas dan amalan perakaunan yang masih digunakan pada masa kini ialah:
a.Entiti Perniagaan. Konsep ini menerangkan bahawa urusniaga-urusniaga yang direkodkan adalah urusniaga-urusniaga yang membabitkan perniagaan itu sendiri. Ini bermakna urusniaga yang membabitkan pemilik perniagaan tidak direkodkan di dalam buku-buku perniagaan. Dengan lain perkataan, konsep ini menyatakan bahawa sesebuah perniagaan adalah satu unit yang terasing dari pemilik atau pemegang sahamnya.
Sebagai contoh, sekiranya seorang pemilik melaburkan wangnya sebanyak RM 10,000 di dalam perniagaannya, jumlah ini dianggap sebagai modal pemilik di dalam perniagaan, iaitu jumlah yang dihutang oleh perniagaan daripada pemiliknya. Buku-buku perakaunan perniagaan bagaimanapun tidak menunjukkan yang pemilik mempunyai aset (wang tunai) sebanyak RM 10,000 yang dilaburkan di dalam perniagaan. Perniagaan tidak akan mementingkan apa jua aset yang dimiliki oleh pemilik perniagaan. Apa yang penting bagi perniagaan ialah menyimpan rekod yang menunjukkan jumlah sebanyak RM 10,000 telah dihutang daripada pemilik.
b.Tempoh Perakaunan. Salah satu daripada fungsi utama perakaunan ialah menyediakan maklumat supaya keputusan-keputusan dapat dibuat. Bagi menyediakan maklumat-maklumat tersebut perniagaan perlu menetapkan tempoh atau jangka masa perakaunan. Lazimnya, tempoh perakaunan yang digunakan ialah satu tahun. Bagaimanapun bagi maksud-maksud tertentu tempoh ini boleh ditetapkan satu minggu, satu bulan, suku tahun, setengah tahun atau sebagainya. Menentukan tempoh perakaunan bertujuan untuk memberi maklumat-maklumat kewangan perniagaan kepada mereka yang berminat supaya perbandingan dapat dibuat dari satu tempoh ke satu tempoh perakaunan yang lain.
c.Kos Sejarah. Menurut konsep ini, aset dan perkhidmatan yang diterima hendaklah direkodkan pada nilai kos atau nilai yang sebenarnya dibayar. Oleh yang demikian buku-buku perakaunan yang merekodkan nilai tersebut tidak semestinya menggambarkan nilai pasaran yang sebenar bagi aset atau perkhidmatan pada masa dibeli atau dibayar, pada masa sekarang atau pada masa akan datang.
d.Usaha Yang Berterusan. Konsep ini berasaskan kepada andaian bahawa sesebuah perniagaan akan terus bergerak atau bergiat dalam jangka masa yang tidak terbatas. Ini bermakna perniagaan tersebut dianggap tidak akan dibubarkan pada bila-bila masa. Andaian ini adalah penting kerana maklumat-maklumat perakaunan yang ditunjukkan di penyata-penyata kewangan akan dapat memberi gambaran yang tepat dan munasabah terutama maklumat mengenai nilai aset-aset perniagaan dan modal pemilik dalam perniagaan. Sekiranya perniagaan dianggap tidak beroperasi selama-lamanya, nilai aset-aset yang ditunjukkan di penyata kewangan tidak boleh digunakan lagi kerana nilai pasaran adalah lebih bermakna.
e.Ukuran Wang. Buku-buku perakaunan hanya merekod urusniaga
-urusniaga yang boleh diukur atau dinilai dalam bentuk mata wang. Oleh yang demikian urusniaga-urusniaga hendaklah terlebih dahulu dinilai dalam bentuk wang sebelum urusniaga-urusniaga ini direkodkan.
f.Amalan Konservatisme. Amalan ini selalu dikaitkan dengan cacatan urusniaga yang dibuat di buku-buku perakaunan yang membabitkan untung dan rugi kepada perniagaan. Urusniaga-urusniaga yang mengurangkan untung hendaklah direkodkan sebaik sahaja urusniaga-urusniaga ini diketahui atau dijangka, manakala urusniaga-urusniaga yang meninggikan untung hanya direkodkan apabila diketahui. Ini bertujuan untuk memastikan semua perbelanjaan direkodkan manakala pendapatan atau hasil tidak sepatutnya dianggarkan sebelum diterima. Bagaimanapun amalan ini dianggap kurang tepat kerana ia mengakibatkan untung atau rugi yang ditunjukkan di penyata kewangan tidak menggambarkan angka yang sebenar. Dengan sebab itu amalan ini tidak lagi diterima oleh kebanyakan badan perniagaan pada masa ini.
g.Memadankan Kos Dengan Hasil. Amalan ini ada kaitannya dengan konsep tempoh perakaunan. Jika usia sesuatu perniagaan dibahagi mengikut tempoh-tempoh perakaunan, untung perniagaan bagi sesuatu tempoh hendaklah dikira. Untuk mengira untung dalam sesuatu tempoh perakaunan, kos dan belanja yang terbabit dalam jangka masa tersebut hendaklah dipadankan dengan hasil atau pendapatan yang diperolehi dalam jangka masa berkenaan. Oleh yang demikian, hanya hasil yang diperolehi dalam sesuatu perakaunan dan perbelanjaan yang dikenakan terhadap pendapatan dalam tempoh tersebut sahaja diambil kira untuk mengira untung dalam jangka masa berkenaan.
h.Amalan Ketekalan. Amalan ini menerangkan bahawa sesuatu kaedah perakaunan yang telah ditetapkan hendaklah diikuti atau dipatuhi dari satu jangka masa ke satu jangka masa lain. Apabila kaedah tersebut tidak berubah maka maklumat-maklumat perakaunan yang ditunjukkan di penyata kewangan akan memberikan maklumat yang betul. Ini adalah penting kerana penganalisisan penyata-penyata kewangan dapat dilakukan dengan membuat perbandingan antara penyata kewangan bagi satu jangka masa dengan penyata kewangan bagi jangka masa yang lain.
i.Pembentangan. Maklumat-maklumat yang dikemukakan di penyata-penyata kewangan hendaklah ditunjukkan dan didedahkan dengan jelas dan betul. Sekiranya terdapat sebarang perubahan terhadap kaedah perakaunan yang digunakan, ini hendaklah juga dinyatakan.
Jumaat, 29 Jun 2007
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Oi, achei teu blog pelo google tá bem interessante gostei desse post. Quando der dá uma passada pelo meu blog, é sobre camisetas personalizadas, mostra passo a passo como criar uma camiseta personalizada bem maneira. Até mais.
Catat Ulasan