MENYEDIAKAN RANCANGAN PERNIAGAAN
Oleh Mohd Yahya Bin Mat Sahri

Pelbagai perkara perlu difikir dan dipertimbangkan sebelum membuat keputusan untuk memilih dan memulakan sesuatu perniagaan. Sehubungan dengan itu, perancangan perniagaan yang rapi diperlukan bagi memastikan perniagaan yang dipilih dapat dimulakan tanpa menghadapi banyak kerumitan samada di peringkat perancangan ataupun selepas perniagaan dimulakan.

MAKSUD DAN TUJUAN RANCANGAN PERNIAGAAN

Rancangan perniagaan adalah susunan aktiviti perniagaan secara bertulis yang akan menjadi garis panduan tindakan atau alat kawalan tindakan untuk menjalankan sesuatu projek perniagaan. Ia juga merupakan satu pelan induk yang menggambarkan analisis dan langkah-langkah yang akan diambil pada masa hadapan untuk memajukan perniagaan.

Rancangan perniagaan juga disebut sebagai kertas kerja, prospektus atau kertas projek oleh pihak-pihak tertentu. Harus diingat bahawa projek perniagaan akan menemui jalan buntu jika rancangan perniagaan tidak disediakan dengan baik.

TUJUAN RANCANGAN PERNIAGAAN

Rancangan perniagaan yang disediakan mempunyai beberapa tujuan seperti berikut :-

i)Sebagai Garis Panduan Untuk Menguruskan Perniagaan

Rancangan perniagaan boleh dijadikan sebagai garis panduan dalam menguruskan perniagaan. Rancangan perniagaan biasanya menunjukkan langkah-langkah yang akan dijalankan oleh pengurus perniagaan. Pihak pengurusan akan menerangkan kandungan rancangan perniagaan untuk mewujudkan pemahaman mengenai tugas-tugas mereka dan juga akan melahirkan perhubungan yang baik antara majikan dan pekerja.

ii)Meyakinkan Pihak Tertentu Terhadap Idea Perniagaan

Rancangan perniagaan merupakan satu alat perhubungan bagi seseorang usahawan untuk menjelaskan sesuatu projek yang ingin dijalankan kepada pihak lain. Melalui rancangan perniagaan ini ia dapat meyakinkan pihak yang ingin membantu menjayakan projeknya. Pihak yang terlibat termasuklah pelabur, syarikat kewangan dan bank.

iii)Mengkaji Dan Menilai Kemajuan Dan Prestasi Perniagaan

Rancangan perniagaan, adalah alat pengukur daya maju sesuatu projek. Rancangan perniagaan menggambarkan analisis yang dibuat untuk menunjukkan potensi dan daya maju sesebuah perniagaan. Dengan berbuat demikian ia juga akan mengelakkan berlakunya pembaziran modal, masa dan tenaga.

iv)Memudahkan Kawalan Perniagaan

Rancangan perniagaan dapat mengawal perniagaan dengan lebih mudah dan berkesan. Kawalan yang teratur dan cekap akan menjadikan perjalanan perniagaan lebih lancar dan tersusun. Ini akan memastikan kejayaan perniagaan tersebut mencapai matlamat seperti yang diharapkan.

v)Membantu menilai Projek Secara Kritikal Dan Meningkatkan Motivasi

Dengan adanya rancangan perniagaan, perniagaan dapat dikaji secara kritikal. Usahawan dapat membuat ramalan tentang perniagaannya berdasarkan maklumat yang terdapat dalam rancangan perniagaan. Perniagaan boleh berjaya sekiranya rancangan perniagaan dibuat dengan baik dan dipraktikkan. Ini membantu meningkatkan motivasi usahawan.


UNSUR-UNSUR DALAM RANCANGAN PERNIAGAAN

Sememangnya setiap perniagaan yang dijalankan akan melibatkan perancangan samada secara formal atau tidak formal dan samada secara ringkas atau terperinci. Terdapat beberapa unsur dalam rancangan perniagaan yang boleh menjadi garis panduan untuk memulakan sesuatu projek perniagaan.

Unsur-unsur yang berkaitan adalah seperti berikut :

i)Menentukan Objektif Perniagaan

Objektif utama dalam perniagaan ialah untuk mendapatkan keuntungan. Keuntungan diperolehi apabila hasil lebih besar daripada kos. Ini bermakna pendapatan yang diperolehi adalah melebihi perbelanjaan yang digunakan. Keuntungan yang diperolehi ini boleh menunjukkan kejayaan.

Sebelum memulakan sesuatu perniagaan, fikirkan dengan teliti apakah objektif sebenar perniagaan yang akan diperoleh. Jika objektifnya ialah untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, maka ciri keusahawanan hendaklah ada keseimbangan dengan perniagaan yang dirancangkan. Tentukan sejauh mana matlamat perniagaan yang boleh dicapai dalam usahawan tersebut. Begitu juga dengan membuat kajian tentang keadaan pasaran yang sedia ada agar masa depan perniagaan dapat berkembang dengan lebih baik. Mendapatkan idea yang jelas tentang ganjaran dalam perniagaan adalah penting apabila merancang aktiviti perniagaan.

ii)Membuat Strategi Pemasaran

Membuat strategi pemasaran juga termasuk dalam unsur-unsur rancangan perniagaan. Pemasaran boleh diertikan sebagai aktiviti menyampaikan barang dan perkhidmatan kepada pelanggan. Sehubungan dengan itu, beberapa faktor perlulah digabungkan agar matlamat untuk menghasilkan strategi pemasaran yang berkesan dan memonopolikan pasaran dapat dilaksanakan.

Antara faktor-faktor dan tujuannya adalah penyelidikan pasaran untuk mengenal pasti kehendak pelangan. Ini bermaksud apakah corak, bentuk, warna dan saiz barangan yang disukai pelanggan.

Selain daripada itu, merancang keluaran adalah perlu supaya barangan atau perkhidmatan dapat disesuaikan dengan kehendak pelanggan.

Hasil keluaran yang hendak dipasarkan perlu memenuhi kehendak pengguna dari aspek kebersihan, pembungkusan dan mengikut citarasa pengguna.

Harga jualan yang diletakkan perlu sesuai dengan kemampuan dan kehendak pelanggan. Dalam menentukan harga, faktor yang perlu diambil kira ialah jumlah kos pengeluaran, keadaan pasaran, paras untung, mutu barangan dan corak permintaan serta penawaran.

Pemilihan tempat yang sesuai dan strategik juga perlu diberi pertimbangan. Perniagaan seharusnya diletakkan ditempat yang mempunyai kuasa beli dan kurang persaingan. Begitu juga agihan yang cekap dapat memastikan barang-barang dapat disampaikan ke tempat yang ada permintaan.

Menentukan cara promosi bagi tujuan menyampaikan maklumat kepada pelanggan mengenai barangan atau perkhidmatan yang disediakan juga hendaklah diberi pertimbangan. Promosi pada asasnya terbahagi kepada pengiklanan, jualan langsung, publisiti dan promosi jualan. Tujuannya adalah untuk memberitahu, menarik perhatian dan mempengaruhi orang ramai supaya membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan.

iii)Membuat Strategi Perlaksanaan

Setelah objektif dan rancangan perniagaan dibuat, maka langkah seterusnya ialah membuat strategi agar perlaksanaannya dapat dijalankan dengan berkesan dan berjaya. Perlaksanaan sesuatu perniagaan itu mungkin berbeza mengikut bentuk dan ciri perusahaan. Umpamanya untuk memulakan perniagaan membuat perisian komputer, perlaksanaannya jauh berbeza dengan memulakan perniagaan membuat pakaian. Walaubagaimanapun dalam setiap bentuk perniagaan, struktur pembahagian tugas adalah sama dari segi fungsinya. Umpamanya terdapat Pengurus Besar untuk mengawal keseluruhan objektif dan rancangan perniagaan agar terlaksana dan Pengurus pengeluaran yang bertanggungjawab memastikan pengeluaran adalah bermutu dan dihasilkan seperti yang ditetapkan. Pengurus Kewangan pula bertanggungjawab dalam hal ehwal kewangan perniagaan, Pengurus Pemasaran memastikan barangan dapat dipasarkan di pasaran dan Pengurus Pentadbiran dan Kakitangan bertanggungjawab dalam urusan pentadbiran dan kebajikan pekerja.

Dalam hal ini, jadual perlaksanaan projek juga hendaklah diberi perhatian. Jadual ini nanti dapat menentukan bahawa sesuatu projek akan dijalankan mengikut rancangan dan juga digunakan sebagai panduan perlaksanaan.

iv)Membuat Anggaran Pendapatan Dan Perbelanjaan

Sebelum sesuatu perniagaan dimulakan adalah perlu bagi kita merancang atau meramal dan menganggarkan pendapatan serta perbelanjaan bagi sesuatu jangkamasa tertentu. Ini dikenali sebagai Penyata Anggaran Perbelanjaan dan Pendapatan. Penyata ini penting kerana ia membolehkan kita mengetahui dan menganggar sumber, jumlah dan masa, wang atau pendapatan yang diterima dan meramalkan jumlah wang dan masa yang diperlukan untuk pembayaran. Oleh itu adalah bijak kita menyediakan penyata ini setiap masa untuk mengetahui keupayaan tunai sesebuah perniagaan.