Dzulfikar Mashoor Mon | Oct 19, 09 | 12:03:11 pm MYT | |||||
PULAU PINANG, 19 Sept: Beberapa pekerja bawahan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) mendakwa terdapat beberapa kes rasuah yang melibatkan ahli lembaga pengarah di pelabuhan itu. Kes rasuah tersebut termasuk penggelapan bahan api diesel di SBU Marine Penang Port Sdn. Bhd. Menurut pekerja yang enggan identitinya diketahui umum itu, dianggarkan kehilangan diesel tersebut bernilai antara RM1.2 juta sehingga RM1.8 juta. Tetapi, menurut laporan bertulis kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 8 Jun lalu, anggaran minima penyelewengan itu adalah RM1.2 juta sahaja. Ujarnya lagi, kes tersebut turut dilaporkan pada Ketua Audit Dalaman majikannya, tetapi sehingga kini tiada sebarang pendakwaan dibuat kepada pihak yang terbabit. Beliau yang kecewa dengan sikap sambil lewa SPRM dan majikannya, meminta Harakahdaily bertanya sendiri kepada Pengarah Urusan PPSB, Datuk Ahmad Ibnihajar berhubung penggelapan diesel tersebut. (Gambar:Pengarah Urusan PPSB, Datuk Ahmad Ibnihajar): Tambahnya lagi, Ahmad juga boleh menjelaskan konspirasi rasuah antara beberapa ahli lembaga pengurusan PPSB dan pengantara yang membekal minyak kepada PPSB, iaitu Koperasi Tanjong Sdn. Bhd. Dakwanya lagi, jika kes tersebut dibongkarkan, sekaligus mendedahkan wajah sebenar pemimpin Umno negeri, khususnya Umno Bahagian Tanjong; iaitu pemain utama dalam Koperasi Tanjong Sdn. Bhd. Ditanya sebab musabab mengapa juruteknik dari Unit Hydrografi PPSB terbabit enggan mendedahkan identitinya, pekerja itu berkata, belum sampai waktunya untuk berbuat demikian. Alasannya, masih terdapat beberapa pendedahan lain kelak, termasuk penindasan profesional ke atas beberapa pasukan juruteknik PPSB disebabkan pekerja-pekerja terbabit enggan bersekongkol dengan amalan salah guna kuasa tersebut. Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bulan lepas mendakwa PPSB mengalami kerugian, berdasarkan angka kejatuhan trafik kontena sebanyak 24 peratus pada suku kedua tahun ini. Tetapi, Guan Eng tidak pula menjelaskan angka kejatuhan tersebut ada kaitannya dengan penyelewengan kuasa atau rasuah yang melibatkan PPSB sendiri. Membalas kenyataan tersebut, Ahmad menegaskan bahawa Guan Eng tidak ada hak mempertikai pengurusan PPSB. "Beliau (Guan Eng) tidak mempunyai kuasa bagi bercakap bagi pihak PPSB sebelum berbincang dengan kami. Saya adalah orang yang berkuasa untuk bercakap bagi pihak pelabuhan Pulau Pinang," tegas Ahmad, sebagaimana memetik dari blog sharpshooter, http://sharpshooterblogger.blogspot.com. Sebaliknya, Ahmad menjangkakan trafik kontena akan meningkat 12 peratus pada suku tahun ketiga tahun ini. Trafik kontena di 10 pelabuhan utama meningkat sehingga 3.79 juta TEU dari 3.44 juta TEU pada tempoh tersebut. Namun, trafik kontena di Pelabuhan Pulau Pinang hanya 2,000 TEU, iaitu lebih kecil angkanya berbanding trafik kontena di Pelabuhan Johor pada suku tahun pertama tahun ini. Sekiranya segala dakwaan tersebut benar-benar berlaku, ianya menjadi satu lagi sejarah kegelitaan integriti negara selepas kes rasuah dan penyelewengan kuasa di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang sehingga kini masih belum selesai. |
Layari http://suararohani.blogspot.com/
0 ulasan:
Catat Ulasan