Rasuah bukan isu penentu Bagan Pinang?
Haris Zalkapli Tue Oct 06, 09 9:12:46 am MYT
TELUK KEMANG, 6 Okt: PAS memulakan kempen di pilihan raya kecil Bagan Pinang di Port Dickson, Negeri Sembilan dengan agak yakin, sekurang-kurangnya berdasarkan pilihan calon kedua-dua parti bertanding.

Dengan memilih Tan Sri Isa Abdul Samad yang pernah disabitkan dalam kes rasuah politik oleh lembaga disiplin partinya, PAS mendapat modal untuk menyerang calon Umno seperti dilakukan di Permatang Pasir lebih sebulan lalu.
Walau bagaimanapun, isu rasuah yang menjadi perhatian PAS dan parti-parti pembangkang lain dinilai sebagai bukan isu utama yang akan mencorakkan pilihan pengundi di Bagan Pinang.
Menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, isu rasuah bukan isu dominan bagi pengundi di kawasan pilihan raya itu.
"Pada pandangan saya, isu rasuah Isa bukan lagi isu dominan jika kita lihat pada isu dalam kempen di sini, dan tidak berperanan besar dalam menentukan aliran pengundi,"kata Abu Hassan.
Jelas beliau, kes Isa itu, yang sudah sedia diketahui umum, lebih kepada isu dalaman Umno.
"Pihak oposisi, khasnya PAS tidak akan mendapat kesan besar dari segi undi sekiranya memberi fokus pada isu rasuah.
"Rasionalnya, isu rasuah tidak boleh tentukan kemenangan," ujarnya.
PAS dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir memberi tumpuan pada rekod peribadi calon Barisan Nasional, Rohaizat Othman.
Walau bagaimanapun, disebabkan sikap sebahagian besar pengundi sudah terbentuk sejak Pilihan Raya Umum ke-12, isu calon tidak memberi kesan besar kepada pengundi.
Permatang Pasir yang terletak dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh mempunyai jumlah penyokong Pakatan Rakyat yang besar dan realiti ini dilihat pada keputusan-keputusan pilihan raya sejak Mac 2008.
Bagi Abu Hassan, isu yang lebih utama dan bersifat jangka panjang ialah berkaitan penstrukturan pembangunan kawasan terbabit.
"Pembangunan yang perlu diberi perhatian bukan sahaja melibatkan hotel dan sebagainya, tetapi pembangunan sebuah daerah pelancongan yang disusun dengan lebih bijak,"katanya.
Beliau menegaskan kawasan terbabit, yang dikenali sebagai kawasan pelancongan perlu membangun tanpa mengorbankan budaya setempat.
Abu Hassan juga menekankan isu pemilikan tanah di Bagan Pinang sebagai isu yang perlu diberi perhatian, disebabkan nilainya yang akan meningkat pada masa akan datang.
"Isu tanah ini akan menjadi isu dominan pada masa akan datang, khususnya kepada orang Melayu yang sering melihat pembangunan mengorbankan hak milik tanah mereka,"tegas Abu Hassan.
Beliau juga melihat kualiti hidup penduduk tempatan sebagai isu yang perlu diberi perhatian dalam pembangunan kawasan Bagan Pinang.
"Kualiti hidup penduduk Melayu di kawasan ini masih tidak jauh berbeza, walaupun Negeri Sembilan itu dilihat sebagai salah sebuah negeri yang agak berjaya dari segi ekonomi," kata Abu Hassan.
Ibrahim Sufian, pengarah pusat tinjauan pendapat Merdeka Center juga berpendapat isu rasuah Isa bukan penentu utama dalam pilihan raya kecil ini, tetapi mengingatkan bahawa pengundi semakin memberi perhatian pada soal kelayakan calon.
Ibrahim berpandangan isu berhubung rekod Isa memberi kesan kepada Umno, berdasarkan reaksi defensif parti itu sejak bekas menteri besar itu dipilih.
BN masih memberi penjelasan tentang pemilihan Isa sebagai calon di Bagan Pinang.
Terbaharu, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata di Paris, Perancis bahawa Isa sudahpun menjalani hukuman dan perlu diberi peluang kedua.
"Ramai yang akui Isa seorang yang mesra, rendah diri dan mudah didekati, tetapi semenjak Pilihan Raya Umum ke-12, rakyat semakin peka dengan isu integriti,"katanya.
Beliau mengatakan Isa turut membawa pembangunan semasa tempoh beliau menjadi menteri besar dan ini menyumbang kepada populariti beliau.
"Tetapi kalaupun pengundi memilih BN, pilihan itu bukan disebabkan pembangunan itu tetapi kerana pilihan-pilihan peribadi,"kata Ibrahim.
Walau bagaimanapun, pemilihan Isa sebagai calon Umno di Bagan Pinang akan membawa kesan kepada BN pada masa akan datang.
"Hal ini akan mendatangkan implikasi nasional kepada BN, seperti yang disebut (Tun Dr) Mahathir (Mohamad), mungkin menang di Bagan Pinang tetapi selepas ini belum pasti lagi," tegasnya.
Mengulas mengenai kempen PAS memberi tumpuan pada rekod Isa dan dilihat sesetengah pihak sebagai pembunuhan karakter, Ibrahim berkata ada perbezaan antara penilaian seorang penjawat awam dengan pembunuhan karakter.
Menurut Ibrahim, Isa ialah seorang penjawat awam dan rekodnya boleh dinilai.
"Sebagai penjawat awam, tindak-tanduknya semasa memegang jawatan ialah rekod awam yang memang boleh diketahui orang ramai,"jelasnya. - mks.
Sila hantar komen anda untuk berita di atas ke:
' );
//-->\n
urespons@gmail.com
' );
//-->

Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya
' );
//-->

__________________
KOMEN PEMBACA
__________________
1. Pada pandangan hamba sebagai rakyat biasa...betul juga apa yg disebut pensyarah tu...org awam nak tgk pembangunan...walaupun rasuah berat dan memberi aplikasi moral yg buruk pada Isa tetapi rakyat kebanyakan akan nilai dr segi pembangunan...benda bersifat fizikal. Kalau jalan tak diturap dan susahkan rakyat...maka itu menjadi isu. Kalau masa ruymah terbakar...tak ade talian telefon/telefon awam, maka itu yg rakyat akan nilai. - Atap Genting, Atap Rumbia.
2. Benar...jangan tertipuuu semua....silap-silap pr akan bungkus...jangan silap kempen. - teropong jauh.
3.Mengikut satu kajian di UKM, isu peribadi calon sekurang-kurangnya mampu menyumbang sehingga 25 peratus impak kepada parti yang bertanding. Ini boleh dilihat pada pilihan raya kecil Manek Urai 14 Julai lalu. Calon PAS kurang berpendidikan formal berbanding calon BN. Kesannya PAS hanya lebih 65 undi berbanding BN. Di Permatang Pasir 25 Ogos lalu, peratusan isu peribadi jelas melonjat jauh lebih tinggi. Begitu juga di Kuala Terengganu, Permatang Pauh, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Penanti. Di Bagan Pinang isu pembangunan mungkin tidak setara di Manek Urai. Ini jelas satu gambaran penerokaan politik baru yang mulai dijejaki rakyat Malaysia. - LJ,Bukit Kajang, Kuala Krai.
Layari http://suararohani.blogspot.com/