PERBAHASAN RANG UNDANG-UNDANGSURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAANOLEH YB DATO’SERI ANWAR IBRAHIM KETUA PEMBANGKANG
PADA ISNIN 29 JUN 2009
VERSI HANSARD
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Permatang Pauh.2.45 ptg.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di- Pertua, terima kasih saya ucapkan. Saya bangun untuk embahaskan Rang Undang-undang Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP). Mengikuti pidato Yang Berhormat Kinabatangan, menarik perhatian bahawa, ada beberapa kesangsian dari rakan dari Barisan Nasional sendiri tentang beberapa peruntukan yang harus dikemas kini, dan saya ucap tahniah di atas keberanian dan kelantangan rakan Yang Berhormat Kinabatangan.
Tuan Yang di-Pertua, beberapa Ahli Yang Berhormat, khususnya Yang Berhormat Ipoh Timur ada menyentuh tentang latar belakang, dan dia ada kaitan dengan apa yang hendak saya ketengahkan, kerana rang undang-undang ini, dari segi hasratnya adalah penting. Bukan semata-mata sebagai reaksi terhadap kritikan tentang, bobroknya sistem atau kelemahan bidang penguatkuasaan atau rasuah, yang menjadi barah. Akan tetapi, apa-apa usaha dalam memantapkan negara hukum, maka isu kewibawaan institusi dianggap penting. Oleh yang demikian, saya ingin menyentuh dan mengambil perhatian
Tuan Yang di-Pertua, memandangkan beberapa rang undang-undang ini terlalu penting yang hendak dipaksa kita luluskan dalam masa yang terlalu singkat. Suruhanjaya Integriti, Etika Kehakiman, Bank Negara Malaysia, Rang Undang-undang Keluarga, dan Akta Insurans. Kalau kita teruskan, ia akan menghalang ramai rakan-rakan Ahli Parlimen dari mengambil pendirian.
Menyentuh rang undang-undang SIAP ini, saya ingin memulakan dengan menyentuh maksud keselamatan dalam negara. Sanctity of life and property, dengan izin, adalah sebahagian perkara asas dalam maqasib syariah itu sendiri. Matlamat syariah itu tidak terlepas daripada meletakkan amanah kepada pemerintah untuk menjamin keamanan rakyat. Kita akui bahawa Malaysia umumnya, negara aman. Akan tetapi, kita tidak boleh nafikan, masalah jenayah dan kebimbangan rakyat, sehinggakan di beberapa kawasan perumahan, rakyat memilih untuk mengadakan peraturan sendiri, kawalan sendiri, kerana mereka anggap kawalan keselamatan oleh pasukan polis, gagal menjamin keselamatan mereka, sama ada di bawah seliaan bekas Menteri Dalam Negeri dulu, ataupun Menteri Dalam Negeri sekarang.
Tuan Yang di-Pertua, kita tidak boleh ketepikan permasalahan ini, dan menganggap, seperti mana sebahagian daripada rakan saya dari Barisan Nasional yang mengatakan, bahawa kita mengambil satu sikap yang terlalu negatif, menganggap bahawa, tidak ada kedamaian dan keamanan negara. Saya tidak mahu mewakili pandangan itu, kerana kita akui negara kita, relatifnya, lebih aman. Akan tetapi, kita tidak boleh biarkan kadar jenayah meningkat dan prestasi pasukan penguatkuasaan, sama ada polis, atau maritim, atau kastam, atau imigresen dihinggapi daripada tuduhan-tuduhan, apatah lagi kalau berasas.
Oleh sebab itu, beberapa tahun dulu, bekas Perdana Menteri, membentuk Suruhanjaya IPCMC, memberi cadangan yang agak mengejutkan, dan ini dibahaskan. Saya percaya di peringkat Jemaah Menteri berulang-kali, menerima bantahan kuat dari Ketua Polis Negara dan pasukan polis. Akhirnya, kerajaan mengalah, dan saya difahamkan kerajaan mengalah.
Suara Harapan