Nasharuddin akhirnya muncul di Manek Urai


NASHARUDDIN Mat Isa bersalaman dengan Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas solat sunat Dhuha di Masjid Peria, Kuala Krai, semalam.


KUALA KRAI 11 Julai - Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa akhirnya muncul di Manek Urai hari ini bagi membantu kempen pilihan raya kecil dengan meyakinkan penyokong Pas bahawa pergeseran kepimpinan parti itu sudah berakhir.

Namun dua kenyataannya yang berbeza kepada pihak media dalam tempoh beberapa jam terus menimbulkan tanda tanya.

Kemunculannya seolah-olah terdesak ketika isu kehilangan pemimpin nombor dua parti itu dikaitkan dengan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang menjadi isu dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Nasharuddin yang pada awalnya seolah-olah menjadi liabiliti bagi parti itu, pada sebelah pagi menghadiri solat sunat Dhuha di Masjid Peria bersama Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat namun kedua-duanya kelihatan bersahaja.

Pada sidang akhbar pertama kira-kira pukul 9 pagi selepas itu, Nasharuddin mengesahkan beliau memang dihalang oleh Pas Kelantan untuk hadir berkempen di Manek Urai.

"Memang ada keputusan daripada Badan Perhubungan Pas Negeri Kelantan sedemikian dan saya akur kepada keputusan tersebut.

"Tetapi selepas kita melihat keadaan dan suasana seperti disebut oleh Tok Guru (Nik Abdul Aziz) dan Presiden bahawa andaian- andaian itu tidak tepat, jadi saya diminta oleh Tok Guru dan Presiden turun ke Manek Urai," katanya.

Bagaimanapun pada sidang akhbar bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali selepas taklimat Jentera Pilihan Raya Pas di Markas Induk parti itu di sini kira-kira pukul 5 petang, Nasharuddin menafikan pula kenyataannya itu dan memberitahu bahawa beliau tidak dihalang berkempen.

Katanya, ketiadaannya pada hari penamaan calon dan berkempen di Manek Urai sebelum ini disebabkan faktor kesihatan.

"Tok Guru tidak halang, saya telah buat persiapan hadir tetapi sebab temu janji di hospital, jadi saya terpaksa berada di hospital.

"Khamis lepas pembedahan kecil dilakukan pada usus saya, lepas itu saya datang ke sini," katanya.

Sehubungan itu, tambahnya, beliau tidak akan berceramah pada pilihan raya kecil ini dan cukup sekadar menghadiri beberapa program bersama jentera parti itu sepanjang hari ini sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur malam ini.

Ditanya mengenai kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Haron yang mengatakan tidak tahu di mana Nasharuddin berada dan Timbalan Presiden itu tidak berada dalam senarai penceramah, Nasharuddin menjawab: "Saya tidak perlu bagi tahu orang ke mana saya pergi.

"Saya pun tak perlu bagi tahu sesiapa pun apa yang saya buat. Saya datang hari ini saja, jika ikut nasihat doktor saya tidak dibenarkan datang tetapi saya orang politik.

"Saya memang tidak maklumkan kecuali kepada Presiden dan Setiausaha Agung parti (mengenai masalah kesihatan yang dihadapinya). Saya tak dapat maklumat apa (menyatakan beliau dilarang datang), kamu dapat melihat sendiri apa yang berlaku di sini." katanya.

Nasharuddin juga mendakwa tidak mengetahui kenyataan Abdul Fatah mengatakan pemimpin yang dikaitkan dengan cadangan kerajaan perpaduan itu segan atau 'malu mata' untuk bertemu dengan penduduk di Manek Urai.

Kelmarin, Nik Abdul Aziz dilaporkan memohon orang nombor dua parti itu turun memainkan peranan bersama jentera Pas dalam pilihan raya kecil itu.

Ia sekali gus bagi membersihkan namanya yang dikatakan tercemar ketika isu cadangan kerajaan perpaduan yang dikaitkan dengan Nasharuddin sudah mulai sejuk.

Menteri Besar Kelantan itu mengakui pada peringkat awal Nasharuddin dilarang menghadiri proses penamaan calon bagi mengelak rasa malu disebabkan bimbang disorak oleh penyokong Pas yang marah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.

Sementara itu, pada sidang akhbar tersebut, Abdul Hadi beberapa kali mencelah ketika soalan diajukan kepada Nasharuddin untuk memastikan keadaan terkawal serta tidak ada jawapan yang 'memakan diri'.

Ditanya adakah Pas Kelantan atau Nik Abdul Aziz menghalang Nasharuddin hadir untuk berkempen di Manek Urai, Abdul Hadi mendakwa media yang mereka-reka cerita.

Suara Harapan