Sidang tergempar DUN kusutkan lagi krisis Perak
Feb 27, 09 4:55pm
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar memanggil sidang tergempar dewan itu Selasa depan untuk membahaskan dua usul yang boleh mengusutkan lagi krisis politik negeri tersebut.
Beliau menggunakan kuasanya bawah peraturan tetap 8 dan 11 DUN itu untuk membahaskan isu-isu utama yang menjadi ketegangan pokok antara Pakatan Rakyat dan BN sejak awal bulan ini.
sivakumar and perakUsul pertama, mengesahkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar yang sah sebelum ditumbangkan dalam rampasan kuasa BN.
Kedua, membubarkan DUN bagi membolehkan satu pilihanraya peringkat negeri diadakan seperti hasrat Pakatan Rakyat sebelum ini.
Krisis politik di negeri itu tercetus susulan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat meninggalkan kerajaan campuran itu dan menyatakan sokongan kepada BN.
Speaker membenarkan kesemua Adun hadir di persidangan khas itu kecuali mereka yang telah digantung pada 18 Feb lalu, iaitu menteri besar kerajaan BN sekarang Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exconya.
Tiga wakil rakyat bebas - yang dianggap telah mengosongkan kerusi masing-masing melalui surat peletakan jawatan mereka - juga dilarang menyertai sidang tersebut.
Jika larangan itu dipatuhi, barisan wakil rakyat BN akan tinggal 21 orang, sementara Pakatan Rakyat 27 orang, tidak termasuk Sivakumar.
Sidang tergempar DUN ini akan mencetuskan satu lagi babak tegang dan tidak menentu perebutan kuasa antara BN dan Pakatan.
Menurut Bernama, Sivakumar memberitahu media di Ipoh bahawa sidang tergempar itu tidak memerlukan perkenan Sultan Perak terlebih dahulu kerana notis 14 hari hanya perlu dikeluarkan persidang biasa DUN dan bukannya untuk sidang tergempar.
Katanya, arahan telah diberikan kepada Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong, untuk menghantar notis secepat mungkin kepada semua 49 Adun yang dibenarkan hadi bagi menyertai sidang itu.
Ditanya sama ada tindakannya memanggil sidang tergempar itu tanpa perkenan Sultan Azlan Shah akan dianggap sebagai tidak menghormati baginda, Sivakumar berkata beliau hanya mengikut Perintah Tetap dewan.
Beliau juga enggan mengulas tindakan selanjutnya jika kesemua
Adun BN enggan menghadiri sidang tergempar itu atau jika kesemua 10 wakil rakyat yang dilarang itu tetap hadir ke sidang tersebut, lapor agensi berita itu lagi.
Sementara itu, exco kanan Perak bawah kerajaan Pakatan Rakyat, Datuk Ngeh Koo Ham dilaporkan berkata penasihat undang-undang negeri Datuk Ahmad Kamal Mohd Shahid cuba menghalang notis sidang tergempar itu dikeluarkan.
Tambahnya, tindakan sedemikian boleh disifatkan menghina dewan dan boleh dikenakan tindakan oleh DUN tersebut. Suara Harapan
Sabtu, 28 Februari 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Ahad Mac 1, 2009
Sidang tergempar DUN Perak sah? Speaker-Setiausaha bertikai
Oleh G. MANIMARAN
[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Krisis politik Perak semakin bercelaru - kali ini membabitkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar dan Setiausahanya, Abdullah Antong Sabri yang "bertikai" tentang kesahihan diadakan sidang tergempar Selasa ini.
Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong Sabri mengeluarkan kenyataan bahawa Speaker tidak boleh memanggil satu sidang tergempar dewan itu Selasa ini kerana tindakan itu tidak sah dan tidak boleh diadakan tanpa mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.
Bagaimanapun beberapa jam selepas kenyataan itu, Sivakumar pula sambil melahirkan rasa terkejut menegaskan, Setiausaha DUN tiada kuasa untuk mentafsir Perintah Tetap Dewan Negeri.
Pada sidang media diadakan kira-kira 7 petang tadi, Sivakumar menegaskan, tugasa Setiausaha ialah mematuhi arahan dikeluarkan oleh Speaker.
Dengan merujuk kepada Perkara 89 Perintah Tetap Dewan Negeri (PT), tertakluk kepada usul khas yang dikemukakan, tafsiran Speaker adalah muktamad.
"Bukankah Speaker mempunyai kuasa untuk memanggil sidang tergempar Dewan?
"Jika hak itu dirampas daripada Speaker, apakah bentuk demokrasi yang kita akan mewarisi pada masa depan.
"Saya merasakan dunia akan gelak terhadap kita jika mana-mana pihak mencampuri atau menghalang kami daripada mengadakan sidang DUN," katanya.
Sivakumar juga berkata, Abdullah tidak mempunyai kuasa untuk menafsir PT dan sebaliknya kewajipan beliau adalah hanya untuk mematuhi perintah dan arahan Speaker serta menjalankan tugas seperti yang termaktub dalam PT.
Speaker DUN Perak itu berkata Abdullah telah membuat tafsiran yang salah ke atas PT kerana PT 8 (1) jelas menyatakan notis bertulis menarik perhatian kepada pemasyhuran memanggil Dewan adalah tidak diperlukan, sebaliknya hanya memerlukan notis memanggil Dewan bersidang dikeluarkan dengan seberapa segera.
"Artikel 36 (1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak pula hanya diguna pakai untuk permulaan sesuatu sesi Dewan ataupun apabila Dewan bermula selepas sesi itu tamat.
"Artikel ini tidak boleh diguna pakai dalam keadaan setelah Dewan ditangguhkan dan dipanggil semula untuk bermesyuarat dalam sesi yang sama," katanya.
KENYATAAN SETIAUSAHA DUN
Terdahulu kira-kira 4 petang tadi, dipetik Bernama, Abdullah berkata, mengikut PT Dewan Negeri 8(1) yang perlu dibaca bersama-sama dengan Perkara XXXVI(1) UndangUndang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan berkehendakkan perkenan Tuanku Sultan untuk memanggil apaapa sidang Dewan Negeri sama ada dalam keadaan biasa atau tergempar.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini hari ini bagi mengulas kenyataan Sivakumar pada Khamis lepas yang beliau bercadang memangggil satu sidang tergempar DUN Perak pada Selasa ini bagi membincangkan dua notis usul yang diterimanya berhubung krisis peralihan kuasa kerajaan negeri itu.
Abdullah berkata, beliau telah menerima arahan daripada Sivakumar supaya mengeluarkan notis segera untuk sidang tergempar DN pada Selasa ini melalui surat Sivakumar yang bertarikh 25 Februari lalu yang turut disertakan notis usul daripada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Teja dan Titi Serong.
Beliau berkata, walaupun ia sidang tergempar, "dalam apa jua pun keadaan, saya hendaklah menghantar Notis bertulis tersebut berserta dengan warta pemasyhuran memanggil dewan kepada tiaptiap anggota DUN menarik perhatian mereka kepada pemasyhuran tersebut.
"Permasyhuran memanggil dewan dibuat oleh DYMM (Duli Yang Maha Mulia) Sultan.
"Ini adalah berdasarkan PT 1 (Perintah Tetap DUN) yang mengatakan "maka Setiausaha Dewan hendaklah membacakan Pemasyhuran DYMM Seri Sultan Perak Darul Ridzuan memanggil mesyuarat..".
"PT 10 (1) mengatakan "Penggal Dewan hendaklah diadakan pada waktu dan tempat sebagaimana yang ditetapkan oleh Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dari semasa ke semasa melalui perisytiharan dalam Warta," katanya.
Beliau berkata, berasaskan PT 10(1) itu, kuasa mutlak untuk memanggil sidang DUN adalah kuasa Sultan Perak dan ia tidak boleh dipertikaikan.
"Ini adalah kerana Perkara XXXVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan memberi kuasa yang jelas kepada DYMM Sultan Perak untuk memanggil DUN bersidang," katanya.
Beliau berkata, Perkara XXXVI (1) memperuntuk "DYMM hendaklah dari semasa ke semasa memanggil bersidang Dewan Negeri itu dan tidaklah boleh membiarkan tempoh enam bulan berlalu di antara perjumpaan yang akhir lepas dalam satu persidangan dengan tarikh yang ditetapkan bagi perjumpaan yang pertama dalam persidangan yang di hadapan."
Abdullah berkata, peruntukan di atas adalah peruntukan Perlembagaan yang merupakan UndangUndang Tertinggi di negeri Perak dan jelas menunjukkan kuasa untuk memanggil sidang DUN adalah kuasa Sultan Perak.
Khamis lepas, Sivakumar menerima dua usul dengan yang pertama daripada ADUN Titi Serong Khalil Idham Lim Abdullah daripada PAS, adalah bagi dewan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, manakala usul kedua oleh Chang Lih Kang (PKR-Teja) yang memohon supaya dewan itu dibubarkan untuk membolehkan pilihan raya negeri diadakan.
Catat Ulasan