Kereta & lembu: MB S'gor akan didakwa
Feb 20, 09 12:13pm
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan didakwa berhubung tuduhan beliau telah menyalahguna kuasanya dalam pembelian lembu korban dan penyelenggaran kereta peribadinya.
Menurut Utusan Online, Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Said Hamdan berkata, terdapat bukti-bukti kukuh berhubung dakwaan tersebut.
Menurutnya, kertas siasatan sudah siap dan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara tidak lama lagi.
Khalid dijangka mengeluarkan satu kenyataan media hari ini berhubung perkara tersebut.
Sebelum ini, pihak media melaporkan bahawa kenderaan yang didakwa milik peribadi menteri besar Selangor tetapi disenggara menggunakan wang kerajaan negeri.
Sehubungan itu, Gerakan Anti Korupsi (Gerak) dan Pemuda Umno Selangor membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan tersebut.
Media juga turut melaporkan reaksi Abdul Khalid yang berkata kenderaan itu hanya digunakan untuk urusan rasmi beliau sebagai menteri besar dan bagi urusan peribadi, beliau menggunakan kenderaan lain.
Beliau juga dilaporkan berkata, ia satu amalan biasa bagi perbendaharaan luluskan peruntukan untuk senggaraan kereta untuk tujuan urusan rasmi.
Gerak juga membuat aduan kepada SPRM terhadap Abdul Khalid kerana didakwanya menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk membeli 46 ekor lembu korban yang diedarkan kepada surau dan masjid di Parlimen Bandar Tun Razak - kawasan Parlimen Abdul Khalid - ketika Hari Raya Korban Disember lalu.
Dalam laporannya, Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus mendakwa Abdul Khalid membeli lembu tersebut pada harga RM110,400 dengan menggunakan dana sebuah agensi kerajaan negeri.
Bagaimanapun, Abdul Khalid telah menafikan dakwaan tersebut dan berkata tidak menggunakan sebarang dana kerajaan negeri untuk tujuan tersebut.
Suara Harapan
Jumaat, 20 Februari 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
5 ulasan:
Khalid: Lexus kereta rasmi MB
Feb 7, 09 3:46pm
Kenderaan yang didakwa milik peribadi menteri besar Selangor tetapi disenggara menggunakan wang kerajaan negeri sebenarnya kereta rasmi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Kenderaan SUV Lexus bukan kenderaan peribadi tetapi ia adalah kenderaan rasmi saya sebagai menteri besar," jelasnya, mengulas tuduhan beliau menyalahgunakan wang kerajaan negeri untuk menyelenggara kenderaan itu.
Menurut Bernama, Abdul Khalid berkata kenderaan itu hanya digunakan untuk urusan rasmi beliau sebagai menteri besar dan bagi urusan peribadi, beliau menggunakan kenderaan lain.
"Itu (Lexus) saya telah isytihar sebagai kereta rasmi menteri besar, bukan saya gunakan sepenuh masa dan untuk kegunaan peribadi, saya gunakan kereta lain.
"Ia satu amalan biasa bagi perbendaharaan luluskan peruntukan untuk penyelenggaraan kereta untuk tujuan urusan rasmi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sijil Simpanan Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) Ambank dan Kad Si Manja Tawas di kediaman rasminya hari ini.
Gerakan Anti Korupsi (Gerak) dan Pemuda Umno Selangor membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa menteri besar itu menggunakan wang kerajaan bagi membiayai kos penyelenggaraan kenderaan itu, bernombor pendaftaran WQR 779.
"Saya telah meminta peguam saya menelitinya (laporan) dengan mengambil kira penggunaan maklumat yang boleh menjadi fitnah dan pada masa sama saya telah meminta pengarah kewangan negeri untuk membuat laporan supaya apa yang kami akan lakukan semuanya telus.
"Anda cuma tahu sebahagian ceritanya sahaja dan anda membuat dakwaan yang tidak wajar," Abdul Khalid dipetik berkata.
Disoal alasan beliau tidak menggunakan Toyota Camry yang baru dibeli kerajaan Selangor sebagai kenderaan rasmi, Abdul Khalid dilaporkan berkata:
"Saya lebih selesa dengan Lexus sebab itu saya tidak gunakan Camry sebagai kereta rasmi."
Khir Toyo dakwa ada bukti terhadap MB S'gor
Jimadie Shah Othman | Jan 22, 09 1:00pm
Ketua pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendakwa menerima salinan surat mengenai arahan dari pejabat menteri besar Selangor berhubung pembelian 46 ekor lembu korban yang diedarkan kepada surau dan masjid di Parlimen Bandar Tun Razak ketika Hari Raya Korban Disember lalu.
"Kita kesal dengan kenyataan akhbar yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengatakan bahawa beliau tidak tahu menahu bahawa lembu dihantar ke kawasan itu (Bandar Tun Razak), dan tidak ada arahan berhubung pembayaran RM110,400 itu.
"Sebenarnya kita ada bukti dokumen yang menyatakan arahan (telah) dibuat oleh Tan Sri Abdul Khalid,” katanya dalam satu sidang akhbar di Pejabat Umno Selangor di Shah Alam, pagi tadi.
Menteri Besar, Abdul Khalid juga merupakan ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
Semalam, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Abdul Khalid kerana didakwanya menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk tujuan tersebut.
Dalam laporannya, Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus mendakwa Abdul Khalid membeli lembu tersebut pada harga RM110,400 dengan menggunakan dana sebuah agensi kerajaan negeri.
Bagaimanapun, Abdul Khalid telah menafikan dakwaan tersebut dan berkata tidak menggunakan sebarang dana kerajaan negeri untuk tujuan tersebut.
‘Arahan bayaran’
Abdul Khalid juga dilaporkan berkata, beliau tidak menyedari wujudnya sebarang agensi kerajaan negeri yang dikenali sebagai Selangor Industrial Corporation (SIC).
Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Dr Mohd Khir berkata, surat tersebut menggunakan kepala surat pejabat menteri berhubung pengedaran lembu korban kepada surau, madrasah dan masjid di Parlimen Bandar Tun Razak.
Surat tersebut ditandatangani oleh ketua setiausaha kepada menteri besar dan di alamat kepada pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Surat itu bertarikh 27 November tahun lalu. Catatan bertulis tangan berkenaan arahan supaya bayaran itu dibuat pula bertarikh sehari selepas itu.
Catatan itu, juga diakhiri dengan tandatangan di penjuru kanan bawah surat berkenaan.
Dr Mohd Khir berkata, beliau juga mempunyai salinan invois dan resit pembayaran bagi pembelian lembu-lembu korban tersebut.
Menurut beliau, resit pembayaran pula bertarikh 16 Disember tahun lalu, katanya,
Minta MB kosong jawatan
Beliau turut menunjukkan surat tersebut kepada wartawan. Bagaimanapun tiada salinan diedarkan kepada media.
Bekas menteri besar Selangor itu berkata, beliau menerima dokumen tersebut melalui pos dua hari lalu.
Sehubungan itu, Dr Mohd Khir menyifatkan kenyataan Abdul Khalid sebagai sebuah "penipuan, pembohongan, dolak-dalik" serta bertentangan dengan janji Pakatan Rakyat bahawa mereka akan memastikan ketelusan dalam kerajaan di bawah pentadbirannya.
"Saya tak nampak ini ketelusan, ini ketipuan (penipuan)," katanya sambil menambah perkara yang sama berlaku berhubung kos pembelian kereta Toyoto Camry oleh kerajaan negeri bulan lalu.
Dr Mohd Khir, bagaimanapun berkata, Umno Selangor tidak perlu lagi tampil membuat laporan kerana laporan yang dibuat telah cukup, setelah Gerak tampil mengemukakan aduan yang sama kepada SPRM semalam.
Dr Mohd Khir berkata, beliau juga difahamkan suruhanjaya tersebut telah menggeledah pejabat menteri besar dan pejabat PKNS dua hari lalu.
Sehubungan itu, beliau mendesak Abdul Khalid mengosongkan kerusi menteri besar sehingga selesai siasatan.
Bercakap lanjut mengenai ketelusan dalam pentadbiran, beliau turut menempelak kerajaan negeri yang didakwanya masih tidak mengamalkan tender terbuka berhubung projek-projek pihak berkuasa tempatan.
Sebagai bukti, beliau berkata, tiada iklan dibuat dalam akhbar-akhbar arus perdana berhubung perkara itu.
K'jaan S'gor akan siasat dokumen 'bocor'
Jan 23, 09 4:12pm
Kerajaan negeri Selangor akan menyiasat mengenai kesahihan dokumen-dokumen yang diperolehi oleh pihak-pihak yang membuat dakwaan bahawa dana kerajaan negeri digunakan untuk membeli 46 ekor lembu korban yang disumbangkan kepada masjid dan surau di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.
"Kerajaan negeri juga bimbang dengan kesahihan dokumen-dokumen yang diperolehi oleh pihak-pihak yang membuat tuduhan liar ini," kata Setiausaha Politik kepada menteri besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad.
"Demi ketelusan dan kebertanggungjawaban, pejabat menteri besar akan menyiasata tentang kesahihan dokumen tersebut serta asal dokumen tersebut diperolehi," katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, ketua pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendakwa menerima salinan surat mengenai arahan dari pejabat menteri besar Selangor berhubung pembelian 46 ekor lembu korban yang diedarkan kepada surau dan masjid di Parlimen Bandar Tun Razak ketika Hari Raya Korban Disember lalu.
Menteri Besar, Abdul Khalid juga merupakan ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
Semalam, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Abdul Khalid kerana didakwanya menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk tujuan tersebut.
Dalam laporannya, Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus mendakwa Abdul Khalid membeli lembu tersebut pada harga RM110,400 dengan menggunakan dana sebuah agensi kerajaan negeri.
Buruk reputasi
Bagaimanapun, semalam Abdul Khalid telah menafikan dakwaan tersebut dan berkata tidak menggunakan sebarang dana kerajaan negeri untuk tujuan tersebut.
Dalam kenyataan hari ini, Nik Nazmi berkata, kekeliruan yang timbul akibat laporan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memburuk-burukkan reputasi kepimpinan Pakatan Rakyat di Selangor.
Namun, katanya, kerajaan negeri, khususnya menteri besar, tidak akan tunduk kepada "serangan politik murahan dan akan terus komited dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan oleh rakyat Selangor.
Nik Nazmi juga mengulangi bahawa tiada dana kerajaan negeri digunakan untuk membeli 46 lembu korban bagi kawasan Bandar Tun Razak.
Sebaliknya, kata beliau, lembu-lembu itu diderma oleh enam anak syarikat dan syarikat bersekutu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), iaitu:
Selangor Industrial Corporation Berhad (SIC) - lima ekor bernilai RM12,000.
Selaman Sdn Bhd - 10 ekor bernilai RM24,000.
Damansara Impian Sdn Bhd - enam ekor bernilai RM14,400.
Pembinaan K K Wong Sdn Bhd - 10 ekor bernilai RM24,000.
PKNS Infra Berhad - lima ekor bernilai RM12,000.
Mas Ehsan Develompment Sdn Bhd - 10 ekor bernilai RM24,000.
PKNS Engineering & Construction Berhad - lima ekor bernilai RM12,000.
Tiada arahan MB
Nik Nazmi berkata, kerajaan juga telah dimaklumkan oleh PKNS bahawa SIC Berhad telah membayar RM110,000 kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang membekal lembu korban itu.
"Syarikat (tersebut) kemudiannya menghadar 'debit note' kepada enam syarikat yang lain untuk bayaran.
"Tiada arahan dari menteri besar kepada PKNS atau SIC Berhad untuk menderma lembu korban ke kawasan Bandar Tun Razak.
"Hanya selepas keputusan dibuat untuk menderma lembu di kawasan Bandar Tun Razak, PKNS telah memaklumkan bahawa terdapat beberapa syarikat yang ingin menderma lembu bagi tujuan kegunaan sempena Hari Raya Korban," katanya.
Menurut Nik Nazmi, semua perancangan awal menderma lembu korban itu dibuat di peringkat PKNS dan syarikat-syarikat terbabit tanpa melibatkan mana-mana penggunaan dana kerajaan negeri ataupun atas arahan menteri besar atau pegawai-pegawainya.
Sabtu Februari 21, 2009
"Saya bukan manusia boleh digertak sesuka hati"
Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN
PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang sedang berhadapan dengan tuduhan menyalahgunakan kuasanya dalam penyelenggaraan kereta peribadinya dan pembelian lembu korban pada Disember tahun lalu menyifatkan tuduhan yang dikenakan ke atasnya sebagai tidak berasas.
Menurut Khalid taktik mengenakan rasuah ke atas beliau merupakan tindakan terdesak daripada kerjaaan Barisan Nasional (BN) yang mahu merampas kerajaan Selangor daripada Pakatan Rakyat.
"Saya tidak takut dengan desakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana percaya tindakan yang dilakukan itu adalah untuk membantu rakyat yang susah dan bukan untuk diri sendiri.
"Saya tidak makan lembu itu, tapi saya beri kepada rakyat miskin, saya guna kereta Lexus saya sendiri supaya kerajaan negeri tidak perlu keluarkan perbelanjaan untuk itu," katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama Pemimpin Tertinggi Pakatan Rakyat di Selangor dan Kuala Lumpur di sini malam tadi.
Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata wujud bukti kukuh yang menunjukkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menyalahgunakan kuasanya dalam isu penyelenggaraan kereta dan pembelian lembu korban.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata, pihaknya mendapati terdapat bukti bahawa Khalid telah menyalahgunakan kuasanya dalam penyelenggaraan kereta peribadinya dan pembelian 46 ekor lembu korban bernilai RM110,400 untuk sambutan Aidiladha pada Disember tahun lalu di kawasan Parlimen beliau di Bandar Tun Razak.
Khalid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Ijok menegaskan beliau bukan seorang manusia yang boleh digertak sesuka hati.
“Makin digertak saya akan terus buktikan kerajaan Pakatan lebih baik daripada BN yang telah memerintah negera ini selama 51 tahun.
“Kita tahu kerajaan BN akan tumbang jadi mereka akan guna apa-apa cara sekali pun untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan di Selangor,” katanya.
Tambah beliau, rakyat akan dapat menilai taktik kotor BN seperti itu untuk menguasai negeri ini namun tegasnya kerajaan PR akan terus membela nasib rakyat di negeri itu.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden PKR, Prof. Dr. Syed Husin Ali; Naib-naib Presiden PKR, Azmin Ali dan R. Sivarasa serta Ketua Penerangan PKR, Tian Chua.
Dakwa segera Khalid
Oleh AZIAN AZIZ, ARSHAD KHAN
dan YANG CHIN MEE
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 21 Feb. – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak Peguam Negara membuat keputusan segera bagi mendakwa kes penyalahgunaan kuasa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (Prowaris), Feriz Omar berkata, kes penyalahgunaan kuasa Menteri Besar Selangor itu perlu didakwa dan dibicarakan segera.
Katanya, langkah segera wajar dilaksanakan memandangkan SPRM telah memiliki bukti kukuh dalam kes tersebut.
‘‘Pihak berkuasa perlu mengambil perhatian ke atas kes yang berprofil tinggi ini kerana ia melibatkan kepentingan umum.
‘‘Bagi mengelak pertelingkahan antara penyokong parti pembangkang dan Barisan Nasional (BN) berhubung kes ini, maka Peguam Negara seharusnya bertindak segera membuat keputusan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan kes penyalahgunaan kuasa Abdul Khalid dalam penyenggaraan sebuah kereta mewah dan pembelian 46 ekor lembu korban.
Sebelum ini, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) mendakwa Menteri Besar Selangor itu menyalahguna kuasanya berhubung pembelian 46 ekor lembu yang kemudiannya diagihkan untuk ibadah korban di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak tahun lalu.
Beliau turut didakwa menyalahgunakan wang kerajaan negeri untuk membiayai kos penyenggaraan, pembelian alat ganti serta aksesori kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Lexus milik peribadinya.
Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan pihaknya mempunyai bukti dan keterangan yang kukuh berhubung dakwaan tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, pihaknya akan mencadangkan tindakan pendakwaan diambil dan perkara itu akan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, pendakwaan segera perlu dilakukan kerana kes di Selangor itu melibatkan kepentingan ramai.
Jika ditangguhkan, katanya, rakyat akan tertanya-tanya apakah kes itu sahih atau sengaja diwujudkan.
“Malah, kalau boleh semua kes melibatkan ahli politik termasuk juga di negeri-negeri lain perlu dipercepatkan,” katanya.
Pengerusi Gerak Malaysia, Mohd. Nazree Mohd. Yunus turut bersetuju agar pihak Peguam Negara segera memutuskan sama ada untuk mendakwa Abdul Khalid atau tidak.
Menurutnya, pengumuman SPRM membuktikan bahawa dakwaan dan laporan yang dibuat oleh Gerak bukan dakwaan dan laporan kosong.
‘‘Kami buat laporan berdasarkan bukti-bukti yang kami perolehi dan hasil daripada aduan orang ramai tanpa mengira siapa atau parti mana individu terbabit.
‘‘Jadi, jika SPRM telah mempunyai bukti yang kukuh dan mencadangkan tindakan pendakwaan diambil, kami mahu agar kes ini segera dibawa ke mahkamah,” tegas beliau.
Timbalan Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia (MBM), Sobri Ahmad pula berkata, langkah pendakwaan itu perlu disegerakan demi menjaga kepentingan semua.
Katanya, jika kes penyalahgunaan kuasa pemimpin negeri itu dibiarkan ia sedikit sebanyak akan menjejaskan keyakinan pelabur untuk melabur di Selangor.
‘‘Negeri Selangor merupakan negeri terkaya di Malaysia dan merupakan salah satu sumber ekonomi kepada negara.
‘‘Oleh itu, kami berharap pihak Peguam Negara akan bertindak segera membuat keputusan untuk membawa kes tersebut ke mahkamah,’’ katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya Abdul Khalid meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar buat sementara waktu sehingga kesnya selesai.
Catat Ulasan