Moralnya..
Jangan Main Belakang...jangan percaya langsung dengan UMNO..

Rabu Februari 4, 2009
Pakatan Rakyat Perak tumbang, BN bentuk kerajaan
Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bersama Nasarudin, Jamaluddin, Mohd Osman dan Yit Foong dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

[DIKEMAS KINI] PUTRAJAYA: Kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang berusia 11 bulan tumbang dengan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) keluar dari pakatan.


Sekarang Barisan Nasional (BN) mempunyai kapasiti untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.


Dari empat yang keluar hari ini termasuk ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang kembali menyertai Umno.


Pada 25 Januari lalu, Nasarudin mengambil keputusan keluar daripada Umno untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Tiga yang lain akan bertindak sebagai wakil rakyat bebas dan akan menyokong BN dari luar.


Mereka ialah Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang); Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang).


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara tersebut berkata, BN Perak mempunyai bilangan majoriti ADUN untuk memerintah negeri itu.


"Tiga ADUN berkenaan memaklumkan kepada saya bahawa mereka telah menghantar surat kepada Sultan Perak bagi memaklumkan mereka telah keluar daripada parti masing-masing.


"Hari ini juga ADUN Bota juga memaklumkan bahawa beliau mahu kembali bersama Umno," katanya dalam sidang media khas di pejabatnya di sini hari ini.


Tiga ADUN Pakatan Rakyat bekenaan ialah Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang); Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang).


Manakala ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dua minggu lalu turut mengambil keputusan untuk kembali menyertai Umno dan BN.


"Mereka semua memberi mandat kepada saya untuk mencalonkan Menteri Besar baru, dan memberi akujanji akan bersama-sama dengan memberi sokongan mengenai calon Menteri Besar yang akan dicalonkan oleh BN nanti," katanya.


Najib berkata beliau akan mengadap Sultan Perak dalam tempoh terdekat.


Komen ADUN


Bagi Nasarudin (Bota), beliau mengambil beberapa pertimbangan untuk kembali menyertai BN iaitu berdasarkan keadaan politik yang tidak menentu dan bercelaru sehingga wujud satu kerajaan yang tidak kukuh di Perak.


"Saya juga mengambil kira dan menghormati pengundi-pengundi di kawasan pilihan raya Bota serta menghormati prinsip-prinsip amalan demokrasi.


"Selain itu saya juga mengambil kira nasihat dan pandangan rakan-rakan politik dan orang-orang perseorangan yang ingin melihat wujudnya keadaan dan suasana politik dan kerajaan yang kukuh di Perak.


"Maka saya dengan penuh perasaan dan kesedaran serta tanggungjawab akan kembali semula menyertai Umno dan BN hari ini.


Sementara itu Jamaluddin (Behrang) berkata, beliau mengambil keputusan keluar daripada PKR dan menjadi ADUN Bebas kerana ada usaha dalam parti itu yang seolah-olah menghalaunya dari parti itu.


"Sebenarnya saya tak ada cadangan pun untuk sertai mana-mana parti, tapi seperti ada usaha seolah-seolah menghalau saya dari PKR, jadi saya ambil keputusan jadi calon Bebas," katanya.


Ditanya mengapa beliau tidak terus menyertai BN, beliau berkata: "Sebab saya tidak fikir apa yang akan berlaku, saya terkejut dengan tindakan (PKR negeri) yang dilakukan terhadap saya," katanya.




--------------------------------------------------------------------------------




[URUTAN SEMASA SEMINGGU]:


4 FEBRUARI, 5.00 PETANG:Di PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengadakan sidang media khas mengumumkan Adun Bota, Datuk Nasarudin kembali menyertai Bn dan tiga lagi ADUN PKR menjadi wakil rakyat Bebas dan menyokong BN.


4 FEBRUARI, 4.30 PETANG:Di IPOH: Menteri Besar mengadap Sultan Perak.


4 FEBRUARI, 3.30 PETANG:Di IPOH: Sidang media Menteri Besar Perak ditunda pada waktu petang.


4 FEBRUARI, 2 PETANG:Di IPOH: Sidang media Menteri Besar Perak ditunda pada waktu petang.


4 FEBRUARI, 1 TENGAH HARI:Di IPOH: Menteri Besar Perakdijadual mengadakan sidang media.


4 FEBRUARI, 11.0 PAGI:Di IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin memaklumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan dibubarkan. Mesyuarat exco akan diadakan pada Jumaat.


1 FEBRUARI, 9.30 MALAM:Di IPOH: ADUN Behrang menafikan yang beliau ada menghantar surat letak jawatan kepada Speaker DUN dan mahu mencabar kesahihannya.


1 FEBRUARI, 6.40 PETANG:Di PETALING JAYA: Menteri Besar Perak hampir yakin kedua-dua ADUN Behrang dan Changkat Jering akan keluar Pakatan Rakyat.


1 FEBRUARI, 5.45 PETANG:Di IPOH: Dua ADUN perak daripada PKR yang "hilang" sejak Isnin lalu mengumumkan peletakan jawatan serta-merta. ADUN Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu menyerahkan surat peletakan jawatan itu di rumah beliau pada 5.45 petang tadi.


1 FEBRUARI, 10 PAGI: Di KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata ada kemungkinan ADUN dari Pakatan Rakyat di Perak akan menyertai BN.


1 FEBRUARI, 11 PAGI: Di IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meminta dua ADUN dari PKR yang "hilang" sejak Isnin lepas supaya mengisytiharkan segera pendirian jika telah keluar daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak.


31 JANUARI: Di KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Tertinggi PKR bermesyuarat malam ini dengan membincangkan secara mendalam isu ADUN Behrang Jamaluddin Mat Radzi dan ADUN Changkat Jering. Ia juga beranggapan bahawa kedua-dua mereka sudah hampir pasti keluar PKR.


30 JANUARI: Di IPOH: Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan laporan mengenai anggota exco kerajaan negeri, Jamaluddin Mohd Radzi dan Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu, kedua-dua daripada PKR, akan menyertai BN.


29 JANUARI: Di KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan Pengerusi BN Perak bagi menggantikan Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali yang meletak kedua-dua jawatan itu berkuat kuasa serta-merta.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan Timbalan Pengerusi BN Perak.


25 JANUARI: Di KUALA LUMPUR: ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim keluar Umno dan BN untuk menyertai PKR dan Pakatan Rakyat.
Suara Harapan