Khamis Februari 12, 2009
Kajian: Majoriti mahu DUN Perak dibubar
Oleh G. MANIMARAN
PETALING JAYA: Hampir dua pertiga pengundi Perak mahu Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya tergempar diadakan di negeri itu ekoran krisis politik sejak penghujung bulan lalu.
Kajian pendapat umum kendalian Merdeka Center, yang dikeluarkan hari ini, menunjukkan hampir 74 peratus mahukan DUN dibubarkan manakala 76 peratus pengundi juga ingin melihat "pilihan raya menerusi rakyat" diadakan untuk menentukan kerajaan pilihan mereka.
Hanya 21 peratus responden mengatakan bahawa pihak istana mempunyai "hak" untuk menentukan kerajaan bagi rakyat jelata.
"Malah, 62 peratus lagi responden merasakan bahawa peranan istana dalam kes ini (perubahan kerajaan) tidak mencerminkan kehendak rakyat negeri Perak," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Merdeka Center hari ini.
Hanya 29 peratus yang mengatakan peranan istana menggambarkan kehendak rakyat.
Pendapat umum itu dikendalikan oleh firma tersebut antara 6 dan 8 Februari lalu untuk mengukur percepsi pandangan orang ramai berhubung perkembangan politik di Perak.
Seramai 507 pengundi berdaftar di Perak dipilih untuk mengambil bahagian dalam kajian tersebut.
Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat, berusia 11 bulan, telah tumbang apabila tiga wakil rakyatnya keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk bertindak sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas dan menyokong Barisan Nasional (BN).
Kini Pakatan Rakyat dan BN mempunyai anggota sama rata iaitu 28 orang.Menteri Besar Perak yang baru mengangkat sumpah Jumaat lalu manakala barisan exconya pula Selasa lalu.
Mengenai penyelesaikan kepada krisis politik ini, seramai 33 peratus responden mahu pilihan raya yang baru dilangsungkan, 35 peratus lagi mengatakan pilihan raya kecil wajar diadakan di kawasan yang ADUNnya keluar parti manakala 28 peratus mahu kerajaan baru dibenarkan terus memimpin negeri itu.Suara Harapan
Khamis, 12 Februari 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
3 ulasan:
Panel 12 peguam, Nizar fail saman esok
Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat akan memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengisytiharkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Perak sebagai tidak sah, esok.
Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, beliau kemungkinan besar akan memfailkan kes memohon pengisytiharan itu pada pukul 11.30 pagi esok.
"Kemungkinan besar saya akan failkan. Jika tidak, panel peguam kita yang akan memfailkannya.
"Kita akan memfailkan kes bagi memohon Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kerajaan BN di Perak sebagai tidak sah dan Pakatan Rakyat masih kerajaan yang sah," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.
Beliau berkata, Pakatan akan melaksanakan mengikut prosedur dan panel peguam mereka yang terdiri daripada 12 orang sedang melaksanakan tugasan termasuk menyediakan dokumen yang diperlukan mengenai kes itu.
Berhubung kemungkinan penyokong-penyokong Pakatan akan berkumpul di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok berikutan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang tersebar meminta mereka datang untuk memberi sokongan esok, Mohammad Nizar berkata, beliau tidak tahu mengenai SMS tersebut.
"Saya minta penyokong menganggap ini sebagai saluran biasa kita, saya minta penyokong (yang dijangka akan berkumpul di Pendaftar, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur) jangan bertindak di luar batasan esok dan tolong menjaga ketenteraman dan keamanan," katanya.
Ketika ditanya sebab kes itu akan difailkan di Kuala Lumpur bukan di sini, beliau berkata panel penasihat memutuskan ia difailkan di Kuala Lumpur selepas menimbang beberapa faktor.
Nizar kosongkan rumah
Dalam pada itu, Mohammad Nizar hari ini bersetuju mengosongkan kediaman rasmi Menteri Besar dalam tempoh 10 hari selepas lebih seminggu tinggal di situ walaupun tidak lagi menjawat jawatan Menteri Besar.
Dalam sidang medianya di kediaman tersebut dio Ipoh hari ini, Mohammad berkata, beliau mahu meninggalkan kediaman itu dengan penuh maruah.
"Saya dan keluarga akan menyewa di sebuah tempat di Ipoh berdekatan dengan sekolah anak-anak saya," katanya sambil menambah yang beliau membuat keputusan tersebut kerana mengikut undang-undang.
"Dengan meninggalkan kediaman ini, ia tidak akan membahayakan kes yang akan difailkan di Mahkamah Tinggi esok," katanya.
Katanya, beliau dan exco Pakatan Rakyat akan beroperasi dari tempat yang akan disewanya itu nanti dan ibu pejabat Pakatan Negeri.
Menjawab satu soalan, Mohammad Nizar berkata Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim telah menghubunginya semalam meminta beliau meninggalkan kediaman itu.
"Dengan cara hormat, saya bersetuju untuk meninggalkannya," katanya sambil menambah insiden minggu lalu telah merubah kediaman rasmi itu kepada simbol kerajaan Pakatan di Perak sebagai kerajaan yang sah.
Mohammad Nizar juga berkata, semua exco Pakatan akan meninggalkan 11 kereta Toyota Camry di kediaman rasmi itu Sabtu ini.
"Kami melakukannya kerana menghormati undang-undang yang kita ada," katanya.
Beliau berkata, exco Pakatan tidak lagi menggunakan kereta rasmi tersebut.
"Selepas menyerahkan kembali kereta itu, kami akan menggunakan kenderaan awam, motosikal dan kereta kami sendiri untuk tugas rasmi," katanya.
Ditanya mengapa bekas exco tidak menyerahkan kembali kenderaan tersebut kepada setiausaha negeri, Mohammad Nizar berkata: "Kami rasakan yang kediaman rasmi adalah tempat yang paling sesuai untuk mengembalikan harta rakyat."
Beliau menambah, terpulang kepada kerajaan negeri yang kini diterajui Barisan Nasional untuk datang dan menuntut kereta-kereta itu.
Dalam pada itu, Mohammad Nizar menegaskan yang Pakatan tidak terlibat dalam menganjurkan perhimpunan bebasr-besaran di Kuala Kangsar, Jumaat lalu.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada beliau ada meminta penyokong-penyokongnya supaya tidak menghadiri perhimpunan itu, Mohammad Nizar berkata, ia adalah pilihan mereka.
Sementara itu, Dr Abdul Rahman ketika dihubungi Bernama berkata Mohammad Nizar telah memaklumkan kepadanya bahawa beliau dan keluarganya akan mengosongkan rumah itu dalam masa terdekat.
Katanya, notis berkenaan dijangka akan dihantar kepada Mohammad Nizar esok.
Dr Abdul Rahman meminta Mohammad Nizar dan barisan exco sebelum ini supaya menyerahkan kenderaan rasmi masingmasing berserta kuncinya dengan segera di bangunan pentadbiran kerajaan negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.
"Notis meminta mereka menyerahkan kenderaan itu dikeluarkan Khamis lepas dan diserahkan seberapa segera. Kalau dua, tiga hari lewat tidak mengapa tapi ini sudah hampir seminggu. Lagipun kenderaan itu bukan perlu dibungkus tetapi hanya perlu dihidupkan dan dipandu ke bangunan pentadbiran," katanya.
Bagaimanapun, beliau mengucapkan terima kasih kepada dua bekas Exco iaitu Zainuddin Mohd Yusof dan Tai Sing Ng yang telah memulangkan kenderaan rasmi yang digunakan sebelum ini kepada kerajaan negeri.
Sementara itu, Mohammad Nizar berkata beliau akan menyerahkan kediaman itu dalam sama terdekat iaitu dalam tempoh sepuluh hari dari sekarang.
"Secara rasmi saya akan keluar dengan cara terhormat dari residensi ini. Selepas ini saya akan tinggal di sini (Ipoh) di kawasan berhampiran tempat anak saya bersekolah. Kita akur kerana ia adalah peraturan," katanya kepada pemberita di kediaman rasmi itu di sini.
Mohammad Nizar juga berkata kesemua 11 kenderaan rasmi jenis Toyota Camry yang digunakan barisan Exco kerajaan negeri Pakatan Rakyat sebelum ini akan diserahkan dengan menempatkan kenderaan itu di dalam kawasan kediaman rasmi menteri besar.
Bagaimanapun, beliau berkata tindakan untuk menyerahkan kenderaan dan kediaman rasmi itu tidak akan menjejaskan apa-apa ketetapan dan keputusan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat sebelum ini termasuk menfailkan kes terhadap menteri besar yang baru Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan barisan Exconya.
Anwar perlu minta maaf
Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
saiful.hasam@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 12 Feb. – Para pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu mengecam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bersikap lepas tangan dalam insiden kekacauan politik di Perak.
Mereka mahukan Anwar memohon maaf kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan seluruh rakyat Malaysia kerana beliau adalah dalang sebenar yang mencetuskan penentangan terhadap institusi raja secara terbuka.
Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Hilmi Ismail berkata, kekalutan politik di Perak sebenarnya berpunca daripada projek 16 September yang dilancarkan oleh Anwar untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui kaedah lompat parti.
Katanya, apabila keadaan berlaku sebaliknya di Perak, Anwar dilihat gagal memberikan nasihat kepada pemimpin kerajaan pakatan pembangkang negeri itu supaya berundur secara terhormat.
“Sewaktu kekalutan berlaku, kelibat Anwar kelihatan di beberapa majlis bersama pemimpin pakatan pembangkang Perak, kenapa dia tidak memberikan nasihat yang sewajarnya supaya mereka berundur secara terhormat.
“Kegagalan itu menyebabkan Anwar dilihat umpama dalang sebenar kepada kekecohan yang berlaku sehingga mendorong sekumpulan penyokongnya merusuh di Kuala Kangsar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hilmi berkata, kejadian rusuhan di Kuala Kangsar juga mirip dengan tindak tanduk Anwar yang sememangnya sinonim dengan demonstrasi jalanan pada tahun 70-an sehinggalah era reformasi 1998.
“Anwar perlu bertanggungjawab dan tidak terkecuali untuk memohon maaf dengan apa yang berlaku,” tegasnya.
Beliau mengulas kekecohan politik di Perak yang terus berlarutan berikutan perubahan kerajaan negeri ekoran tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang keluar parti manakala seorang lagi menyertai semula UMNO.
Bagaimanapun, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin enggan melepaskan jawatan Menteri Besar walaupun telah dititahkan oleh Sultan Perak untuk berbuat demikian.
Pakatan pembangkang akan turut mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar baru, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir manakala Pengerusi DAP, Karpal Singh bercadang menyaman Sultan Perak.
Keadaan itu telah mencetuskan suasana tidak tenteram berikutan bantahan orang ramai di seluruh negara terhadap sikap para pemimpin pakatan pembangkang yang dianggap menderhaka kepada Sultan Perak.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali pula berkata, dakwaan bahawa Anwar adalah dalang kekecohan di Perak telah disahkan oleh Karpal baru-baru ini.
Katanya, Karpal juga meminta Anwar supaya bertaubat kerana telah mempromosikan politik lompat parti untuk mencapai cita-cita politik.
“Sebenarnya Anwar mahu ‘cuci tangan’, sebab itu dia elak untuk bersetuju dengan Karpal dalam kes menyaman Sultan Azlan Shah.
“Selama ini saya banyak tidak bersetuju dengan Karpal, namun kali ini saya terpaksa bersetuju dengan beliau bahawa Anwar adalah punca segala-galanya,” katanya.
Dalam pada itu, Ibrahim menjelaskan pandangan beliau terhadap Anwar bukannya didorong oleh sentimen emosi sebaliknya ia berasaskan penilaian akademik.
Katanya, sebagai Ketua Pembangkang, Anwar tidak boleh lepas tangan dalam isu berkaitan kestabilan negara.
“Itu tanggungjawab dia sebagai ketua pakatan pembangkang, saya harap rakyat juga membuat penilaian yang jujur secara akademik mengenai tindak tanduk Anwar itu,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida), Jamaludin Yusof berkata, Anwar perlu mengambil iktibar bahawa tindakan beliau telah menyebabkan hubungan antara orang Melayu dan kaum lain menjadi tegang.
Katanya, Anwar perlu menyedari bahawa politik songsang yang menjadi amalan beliau tidak membawa sebarang erti sebaliknya akan memusnahkan karier politiknya satu masa kelak.
“Apa yang berlaku di Perak adalah ketentuan Allah, kita harap beliau menerimanya dengan lapang dada bahawa apa yang kita rancang tidak semestinya menjadi kenyataan.
“Anwar tidak akan rugi apa-apa jika beliau memberi nasihat kepada orang Melayu dalam pakatan pembangkang supaya bermuhasabah dengan apa yang berlaku demi meredakan keadaan sekarang,” katanya.
Jumaat Februari 13, 2009
Nizar fail saman MB Perak pagi ini
KUALA LUMPUR:Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini memfailkan saman terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Bekas Menteri Besar Perak itu memfailkan saman tersebut pada pukul 11.30 pagi ini kerana mendakwa angkat sumpah Zambry sebagai Menteri Besar pada Jumaat lalu sebagai tidak mengikut perlembagaan dan tidak sah.
Catat Ulasan