Isnin Februari 9, 2009
Exco Kedah letak jawatan, pilihan raya kecil?

Menteri Besar Kedah dijadual adakan sidang media susulan 9 malam ini

BERSAMA... MENTERI Besar Kedah, Datuk Azizan Abdul Razak bersama V. Arumugam pada majlis sambutan Deepavali di Alor Setar, Kedah pada Oktober lalu.

[DIKEMAS KINI, 8.15 MALAM] ALOR SETAR: Di sebalik desas-desus menyertai Barisan Nasional (BN), Anggota Exco Kedah, V. Arumugam mengosongkan jawatan tersebut tetapi masih kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bukit Selambau.

Demikian diumumkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di sini pagi tadi.

Azizan dijadual mengadakan sidang media susulan pukul 9 malam ini.

Difahamkan Arumugam yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India, mengambil keputusan itu atas masalah peribadi.

Semalam sekumpulan penduduk dari kawasan Sungai Petani mengemukakan memorandum kepada Sultan Kedah berhubung Arumugam.

mStar Online difahamkan Arumugam turut berhadapan dengan tekanan agar meletakkan jawatan sebagai ADUN Bukit Selambau.

Beliau yang menjadi perhatian banyak pihak ekoran cakap-cakap akan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menyertai BN tidak dapat dihubungi dan "hilang" hampir seminggu yang lalu.

LETAK JAWATAN ADUN?

Dalam pada itu, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Datuk Johari Abdul tidak menolak khabar angin yang berkemungkinan Arumugam akan turut melepaskan jawatannya sebagai ADUN Bukit Selambau.

Johari berkata beliau turut menerima maklumat bahawa Arumugam akan mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi kawasan yang diwakilinya itu.

"Saya ada menerima maklumat bahawa YB (Yang Berhormat) Arumugam berhasrat untuk melepaskan jawatan sebagai ADUN.

"Itu yang terkinilah saya dapat tahu selepas beliau ambil keputusan lepaskan jawatan exco," katanya kepada mStar Online petang ini.

Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani itu bagaimanapun tidak pasti sejauh mana kebenaran maklumat yang diperolehinya itu.

"Saya tak pasti tentang kesahihannya, maklumat lanjut daripada Presiden Parti (PKR) (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) pun belum kita dapat lagi.

"Saya fikir paling cepat pun kita boleh tahu esok pagi jika Presiden buat pengumuman secara rasmi mengenai statusnya (Arumugam)," katanya.

Bagaimanapun beliau menafikan Arumugam berhadapan dengan masalah 'skandal' seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Johari sebaliknya menyifatkan Arumugam yang baru sahaja melepaskan jawatan sebagai Exco Kedah mempunyai masalah keluarga berhubung status isteri keduanya.

"Ini bukan skandal sebaliknya hanya salah faham.

"Kalau ikut masyarakat bukan Islam berdasarkan Akta Perkahwinan dan Penceraian 1976, mereka tidak boleh kahwin lebih daripada satu tanpa menceraikan isteri pertama.

"Tapi Arumugam telah mengahwini isteri keduanya kira-kira lapan atau sembilan tahun yang lalu," katanya.

Bagaimanapun menurut Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani, perkahwinan kedua Arumugam tidak didaftarkan secara sivil kerana undang-undang tidak membenarkannya berdasarkan kenyataan bahawa isteri pertamanya masih sah.

Oleh yang demikian jelas Johari, Arumugam telah mengahwini isteri keduanya mengikut kaedah keagamaan tanpa membuat pendaftaran.

"Dia tak ada anak dengan isteri pertama yang dikahwininya sejak 19 tahun lalu.

"Perkahwinan dengan isteri keduanya, beliau mendapat seorang anak yang berusia kira-kira lapan tahun.

"Jadi bagi saya ini hanya salah faham yang cuba dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengeruskan keadaan," katanya.

Johari bagaimanapun tidak dapat memastikan sama ada peletakkan jawatan Arumugam ada hubungkait dengan isu ini.

Mengulas mengenai memorandum yang diserahkan kepada Sultan Kedah berhubung dakwaan Arumugam telah menghina istana dengan membawa isteri keduanya menghadiri majlis-majlis rasmi kerajaan negeri, Johari berkata, perkara itu sengaja dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu.

"Dia dah kahwin lama dengan isteri keduanya, tapi isu ini baru dibangkitkan.

"Jelaslah semacam ada usaha untuk jatuhkan beliau," katanya.

CALON BEBAS

Beliau yang bertanding sebagai calon Bebas, menyertai PKR selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu dan diberikan jawatan Exco dalam kerajaan negeri.

Arumugam memperoleh 13,225 undi manakala calon Barisan Nasional (BN) dari MIC, Krishnan Subramaniam pula memperoleh 10,863.

Calon asal PKR di kerusi itu tersebut dibatalkan pencalonan atas masala teknikal.

Kini Kedah diterajui oleh Pakatan Rakyat yang mempunyai 21 anggota manakala BN pula mempunyai 14 wakil. Seorang lagi merupakan ADUN Bebas iaitu Arumugam.

BERITA TERDAHULU

Arumugam mahu lepas jawatan Exco Kedah

ALOR SETAR: Di sebalik desas-desus bahawa Kedah kini menjadi sasaran Barisan Nasional (BN) untuk ditumbangkan, Exco Kerajaan Negeri itu, V. Arumugam mahu melepaskan kedudukannya dalam kerajaan pimpinan PAS di Kedah.

Namun beliau berikrar akan mengekalkan keanggotaan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau itu telah memaklumkan mengenai perkara tersebut kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu mesyuarat di Ipoh semalam.

Pengerusi Biro Latihan negeri, Zambri Yusuf memberitahu bahawa Arumugam telah menerangkan hasratnya kepada Anwar.

"Arumugam telah memutuskan untuk berhenti daripada kedudukannya sebagai Exco kerana menerima tekanan termasuk ke atas anggota keluarganya supaya berpaling tadah kepada Barisan Nasional (BN)," katanya.

Arumugam merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri.

Bagaimanapun sehingga kini Arumugam masih belum memaklumkan peletakan jawatannya secara rasmi kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang mengumumkan perkara itu hari ini berkata Arumugam telah menghantar surat melepaskan jawatan Exco kepada Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Arumugam dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagaimanapun masih kekal sebagai anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Selambau yang dimenanginya pada pilihan raya umum tahun lepas, katanya.

"Surat itu (peletakan jawatan sebagai Exco) dihantar dari Kuala Lumpur ke alamat pejabat Tuanku di Wisma Darul Aman dan sepatutnya diterima hari ini," kata Azizan pada sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Darul Aman di sini.

Menteri Besar berkata, beliau dimaklumkan oleh pembantunya pagi ini bahawa Arumugam menelefon pembantunya itu untuk memaklumkan mengenai keputusan melepaskan jawatan Exco.Suara Harapan