28 ADUN Pakatan pulau majlis angkat sumpah - Nizar
PENYOKONG Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hadir di ceramah khas di kediaman rasmi Menteri Besar malam ini.
IPOH: Kesemua 28 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini akan memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baru esok, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Beliau berkata, kesemua mereka yang bermesyuarat petang tadi telah memutuskan untuk tidak menghadiri majlis itu dengan alasan beliau masih Menteri Besar yang sah dan belum meletakkan jawatan.
"Saya telah diarahkan untuk meletakkan jawatan dan sekiranya saya berbuat demikian bermakna secara automatik keseluruhan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah meletakkan jawatan.
"Niat buruk Barisan Nasional untuk menjatuhkan kerajaan negeri berpunca daripada perasaan takut selepas kekalahan dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu...pelbagai keadilan, ketelusan dan kebajikan yang telah ditunjukkan selama 10 bulan memerintah amat menakutkan mereka," katanya dalam forum khas yang diadakan di kediaman Menteri Besar di sini malam ini.
Lebih 10,000 penyokong PR berkampung di kediaman ini selepas perjumpaan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Perak gagal kerana stadium telah dikunci.
Pada majlis yang sama, Anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri, Nga Kor Ming berkata pimpinan tertinggi DAP menyokong 100 peratus kepimpinan Nizar.
"Kami menyokong Mohammad Nizar terus menjadi Menteri Besar Perak," katanya.
Nga turut menyelar sikap Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Rahman Hashim yang dikatakan bertindak biadab mengarahkan kesemua Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengosongkan pejabat mereka termasuk menyerahkan kunci kenderaan milik kerajaan negeri.
"Kami sedang bermesyuarat pada pukul 3 petang dan tiba-tiba mendapat panggilan telefon daripada beliau mengarahkan kami mengosongkan pejabat sebelum pukul 5 petang," katanya. BERNAMASuara Harapan
Jumaat, 6 Februari 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
4 ulasan:
Zambry MB Perak baru, janji kembali keharmonian
Oleh G. MANIMARAN, ARIFFUDDIN ISHAK dan ZANARIAH ABD. MUTALIB
[DIKEMAS KINI, 10.50 MALAM] PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang baru.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Subang sebentar tadi.
Beliau berkata Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah memperkenan pemilihan Zambry sebagai Menteri Besar.
Upacara mengangkat sumpah Menteri Besar baru itu akan diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 3.30 petang, esok.
Upacara mengangkat sumpah Exco pula akan diadakan pada 10 Feb pukul 10 pagi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Dalam pada itu, Setiausaha Umno Negeri Perak, Datuk Ramly Zahari ketika dihubungi mengucapkan tahniah diatas perlantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang baru.
"Tahniah kepada ADUN Pangkor, kami (Umno Perak) menyambut baik keputusan yang dibuat Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang juga mendapat perkenan Sultan Perak berhubung lantikan itu," katanya.
Beliau berharap semua pihak sama-sama berganding bahu mentadbir Perak dengan baik demi kepentingan rakyat.
"Selepas ini semua pihak kena bekerja keras untuk memastikan pembangunan untuk rakyat dilaksanakan dengan segera.
"Tambahan pula keadaan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Perak ketika ini hampir sama sewaktu Pakatan Rakyat dahulu kerana kelebihan majoriti yang kecil.
"Jadi tumpuan kepada pembangunan serta kebajikan rakyat harus diutamakan bagi memastikan Perak terus kekal mentadbir Perak," katanya.
Sementara itu di IPOH, BERNAMA melaporkan Zambry berjanji akan mengembalikan ketenangan dan keharmonian kepada rakyat negeri Perak.
Beliau, yang menjunjung kasih kepada Sultan Perak Sultan Azlan Shah kerana memberi perkenan dan kepercayaan untuk beliau dilantik sebagai Menteri Besar yang baru, menganggap tanggungjawab itu sebagai satu amanah yang harus dipikul dengan sifat kepimpinan yang baik.
"Saya akan lakukan amanah ini dengan sebaik-baiknya. Saya turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak serta rakan-rakan terhadap sokongan yang diberikan," katanya di sini malam ini.
Zambry berkata dengan perlantikan beliau yang diperkenankan Sultan Azlan Shah, berharap ia tidak akan menimbulkan suasana dan isu yang tidak baik.
Jumaat Februari 6, 2009
Nizar tidak pegang kepada janji
IPOH: Keengganan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin patuh kepada titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah supaya beliau serta barisan exconya meletak jawatan membuktikan beliau tidak berpegang pada kenyataannya semalam.
Mohammad Nizar semalam semasa ditemui pemberita mendakwa beliau tidak akan meragui sebarang keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah berhubung kedudukan kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) berikutan perkembangan terbaru politik di negeri itu.
Bagaimanapun pada sidang akhbar di kediaman rasminya di sini hari ini, Mohamad Nizar telah mengumumkan keengganannya melepaskan jawatan Menteri Besar kerana menganggap beliau masih menyandang jawatan itu secara sah mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan Perlembagaan Persekutuan.
Artikel XVI (6) Undang-undang Tubuh negeri menyatakan bahawa jika Menteri Besar tidak lagi mendapat kepercayaan daripada majoriti ahli Dewan Undangan Negeri, maka, kecuali atas titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan membubarkan Dewan negeri, beliau patut mengemukakan peletakan jawatan Ahli Majlis Mesyuarat.
Sementara Artikel XVI (7) Undang-undang Tubuh Negeri menyatakan bahawa berkait dengan klausa (6) seorang ahli Majlis Mesyuarat selain Menteri Besar boleh mengekalkan jawatan atas perkenan Paduka Seri Sultan tetapi mana-mana ahli Mesyuarat, boleh, pada bilabila masa, meletakkan jawatan.
Mohammad Nizar semalam turut berkata beliau yakin sebarang keputusan yang diperkenankan oleh Sultan Perak dalam menangani kemelut politik di negeri ini dibuat dengan adil dan akan "akur dan menerima sebarang keputusan yang diperkenankan Tuanku."
Hari ini beliau turut mendakwa Barisan Nasional (BN) tidak boleh menubuhkan kerajaan negeri di Perak kerana majoriti yang disebut oleh BN adalah tidak tepat kerana kedudukan tiga ADUN Pakatan Rakyat yang dianggap mereka telah meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi itu.
Ini berikutan keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) V.Sivakumar sebelum ini yang mengisytiharkan terdapat tiga kawasan DUN yang kosong dan telahpun memohon mahkamah untuk mengisytiharkan kekosongan itu berikutan dakwaan Sivakumar yang mengatakan beliau menerima surat peletakan jawatan daripada ketiga-tiga ADUN Behrang, Jelapang dan Changkat Jering.
Sultan Perak hari ini memutuskan untuk tidak memperkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), serta menitahkan supaya Mohammad Nizar dan barisan exconya meletak jawatan.
Baginda membuat keputusan itu setelah menemui kesemua 28 anggota dewan daripada Barisan Nasional dan juga tiga anggota Bebas di Istana Kinta di sini hari ini dan yakin bahawa Mohammad Nizar telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada kalangan anggota dewan. BERNAMA
Jumaat Februari 6, 2009
POLITIK PERAK: DETIK MENARIK HARI INI
[DIKEMAS KINI 12.10 TENGAH MALAM] BERIKUT adalah perkembangan politik di Perak sepanjang hari ini.
11.30 malam: Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata kesemua 28 ADUN Pakatan Rakyat akan memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baru esok.
8.00 malam: Perdana Menteri mengumumkan ADUN Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang baru. Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah memperkenan pemilihan Zambry sebagai Menteri Besar.
6.30 petang: Perdana Menteri meninggalkan Istana Kinta bersama seorang lelaki yang tidak dikenali duduk di sebelah beliau dalam kenderaannya.
5.53 petang: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tiba di Istana Kinta untuk menghadap Sultan Azlan Shah. Beliau tiba dengan diiringi sembilan kereta.
5.40 petang: Pejabat Sultan Perak mengeluarkan kenyataan berhubung titah Sultan.
5.10 petang: Menteri Besar Perak berkata, kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak akan meletak jawatan kerana masih berkuasa. Sebaliknya, beliau akan menghadap Sultan Perak sekali lagi untuk merayu supaya DUN dibubarkan dan pilihan raya negeri baru diadakan.
4.50 petang: Nizar dalam sidang akhbarnya memberitahu, Pakatan Rakyat akan merayu kepada Sultan Perak supaya memberi perkenan untuk membubarkan DUN negeri itu supaya rakyat Perak boleh membuat keputusan berhubung kerajaan seterusnya. Beliau bagaimanapun masih belum membangkitkan isu peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar.
4.30 petang: Di Bagan Serai, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Pakatan Rakyat menerima hakikat bahawa BN akan memerintah kerajaan negeri Perak.
4.21 petang: Pasukan polis dan FRU mengambil alih bangunan Kerajaan Negeri. Sebaik sahaja Sultan Azlan Shah menitahkan Menteri Besar dan semua Exco meletak jawatan, Setiausaha Kerajaan Negeri telah menghantar surat kepada semua Exco memaklumkan kepada mereka untuk menyerahkan kembali harta negeri termasuk kunci, kereta dan sebagainya. Beliau turut pergi ke pejabat semua Exco dan meminta semua pembantu peribadi Exco meninggalkan bangunan dengan segera.
3.30 petang: Perdana Menteri akan menghadap Sultan Azlan Shah di Istana Kinta, petang ini.
3.00 petang: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengadakan sidang media khas di kediaman rasminya.
2.25 petang: Sultan Azlan Shah tidak berkenan membubarkan DUN Perak dan meminta Nizar meletak jawatan sebagai Menteri Besar. Jika tidak, jawatan itu dianggap kosong.
12.45 tengah hari: MB Perak memasuki Istana Kinta.
12.30 tengah hari: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap penyokong Pakatan Rakyat yang mengambil bahagian dalam perhimpunan haram di Ipoh.
11.56 pagi: Najib memberitahu wartawan yang beliau telah memberitahu Sultan Azlan Shah bahawa BN mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan negeri Perak. Katanya, Sultan akan menitahkan keputusannya tidak lama lagi.
11.55 pagi: Speaker V. Sivakumar meninggalkan Mahkamah Tinggi selepas memohon kepada mahkamah untuk mengisytiharkan surat peletakan jawatan tiga ADUN sebagai sah dan kerusi DUN tersebut kosong.
11.50 pagi: Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berada di pejabat Menteri Besar pada pukul 3 petang ini dan perhimpunan besar-besaran dijadualkan berlangsung pada pukul 7 malam di kediaman Menteri Besar.
11.38 pagi: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin memberitahu wartawan, beliau baru sahaja dipanggil untuk hadir ke Istana Kinta.
11.34 pagi: Najib meninggalkan Istana Kinta bersama empat ADUN.
11.21 pagi: Najib kembali ke Istana Kinta, kali ini bersama empat bekas wakil rakyat Pakatan Rakyat iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Jailu (Changkat Jering), Hee Yit Foong (Jelapang) dan Datuk Nasaruddin Hashim (Bota) untuk menghadap Sultan Perak.
10.35 pagi: Ketua Umno Perak, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meninggalkan Istana Kinta. Najib dijangka akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa perhubungan negeri bagi membincangkan calon BN bagi jawatan Menteri Besar Perak.
9.50 pagi: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Ahli Parlimen Bagan Datoh) memasuki Istana Kinta untuk mendapatkan perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi BN membentuk kerajaan baru di negeri itu.
9 pagi: Speaker, V. Sivakumar memberitahu wartawan yang beliau telah memohon kepada Mahkamah Tinggi pada hari ini untuk mengisytiharkan surat letak jawatan tidak bertarikh oleh bekas ADUN PKR, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan ADUN DAP, Hee Yit Foong (Jelapang) sebagai sah. Tiga ADUN tersebut telah meletakkan jawatan daripada parti masing-masing untuk menjadi ADUN Bebas dan mengakui akan memberi sokongan kepada BN.
Mutakhir »
Jumaat Februari 6, 2009
Krisis politik: Sultan Perak perlu guna kuasa simpanan
KUALA LUMPUR: Sultan Perak perlu menggunakan kuasa simpanan bagi menyelesaikan krisis politik yang kini melanda negeri itu.
Sehingga malam ini, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin masih enggan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak walaupun jawatan itu kini secara rasminya telah disandang oleh Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir atas keyakinan yang beliau masih sah memegang jawatan itu di bawah Undang-undang Tubuh Negeri Perak.
Pensyarah kanan undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata, kedudukan pada masa ini berada dalam keadaan Perlembagaan tidak 'berkata' apa-apa dan tidak menawarkan apa-apa bagi menangani krisis yang berlaku.
"Dalam kes seperti ini, Sultan perlu menggunakan kuasa-kuasa simpanan yang ada padanya. "Menang benar kuasa itu tidak termaktub dalam Perlembagaan tetapi dalam menangani krisis seperti ini Sultan mempunyai kuasa, katanya kepada Bernama, hari ini. Beliau menjelaskan, ada dua cara Sultan boleh bertindak dan satu daripadanya adalah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) walaupun tanpa nasihat seorang Menteri Besar.
"Satu cara lagi adalah Sultan membatalkan pelantikan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar dan kemudian membubarkan dewan undangan negeri," katanya.
Beliau berkata, krisis itu boleh berlanjutan selama mana Mohammmad Nizar enggan untuk mengosongkan jawatannya yang boleh menimbulkan persoalan berhubung kesahan kerajaan baru.
Sementara itu, bekas Dekan Fakulti Ilmu Kemanusiaan dan Sains Sosial Universiti Tun Abdul Razak, Prof Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid berkata, pemimpin yang matang tidak akan kembali ke zaman gasar semata-mata apabila berdepan dengan krisis. Sebaliknya, kata beliau, pemimpin yang bijaksana akan berpegang kepada prinsip-prinsip utama yang terkandung dalam Rukun Negara dan Perlembagaan dengan mengekalkan budaya tinggi dan halus ketika menyelesaikan krisis tersebut.
"Apa yang dimaksudkan sebagai budaya tinggi dan halus ini termasuklah taat setia kepada raja dan cinta kepada negara," katanya.
Menyifatkan situasi politik di Perak sebagai 'krisis kecil' dan sebahagian daripada proses kematangan politik tanah air, Dr Ibrahim berkata pada akhirnya hanya pemimpin yang sedemikian akan disanjung rakyat.
"Jika pemimpin dan pasukan pemimpin ini bijak, maka rakyat juga akan menjadi bijak, dan saya yakin semua pihak yang terlibat akan belajar sesuatu daripada krisis ini dan akhirnya menjadi lebih matang," katanya.
Bekas Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Zainal Kling pula berpandangan, pembuat undang-undang yang tidak menghormati undang-undang tidak layak berada di dalam dewan yang menggubal undang-undang. "Sultan adalah pemerintah tertinggi sesebuah negeri, dan apa yang dilakukan Pakatan Rakyat ini kalau ikut budaya politik Melayu adalah satu penderhakaan yang tidak boleh diampun," katanya.
Beliau juga berpendapat golongan seperti itu wajar dihukum.
"Kita mesti menuntut mereka yang mengetepikan perintah diraja, adat-istiadat Dewan Undangan Negeri, yang memperlekeh raja, supaya dihukum.
"Barangkali dalam Perlembagaan tidak ada, tetapi daripada segi konvensyen dan istiadat perundangan orang-orang seperti ini mesti dihalang daripada hadir ke (persidangan) Dewan untuk tempoh tertentu," katanya.
Catat Ulasan