Penduduk dakwa PDKS roboh premis tanpa notis

KUALA SELANGOR – Operasi bersepadu merobohkan projek pembinaan baru di Kampung Bestari Jaya menerima bantahan hebat penduduk setempat sehinggakan operasi berkenaan terpaksa diberhentikan sementara waktu. Penduduk mendakwa, operasi berkenaan dilaksanakan tanpa notis dan secara tiba-tiba dua kedai dan sebuah rumah yang dalam pembinaan dirobohkan sehingga mengakibatkan kerugian lebih RM30,000. Seorang penduduk, Bidah Haron, 43, berkata mereka membantah operasi berkenaan ekoran kedainya yang masih dalam pembinaan itu dirobohkan tanpa diberi sebarang notis atau makluman awal. “Saya amat terkilan dengan tindakan Pejabat Daerah/ Tanah Kuala Selangor (PDKS) yang secara terang-terangan memusnahkan harta benda saya kerana bukan mudah untuk memperoleh wang bagi membina premis berkenaan.. “Kerugian yang terpaksa saya menanggung ini bukannya sedikit dan di mana keprihatinan kerajaan negeri untuk membela nasib insan seperti kami?” katanya. Dua lagi penduduk, Zainuddin Abdul Majid dan Azhar Kamaruddin turut mengalami nasib yang sama apabila rumah dan premis mereka dirobohkan dalam operasi yang bermula kira-kira jam 9.30 pagi sehingga jam 1130 pagi, di sini semalam. Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Selangor, Misri Idris berkata, operasi bersepadu bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dilaksanakan atas arahan. “Kami akui operasi ini mendapat bantahan hebat daripada semua penduduk yang terlibat sehingga terpaksa diberhentikan setelah mendapat nasihat pihak polis bagi menjamin keselamatan semua. “Kami hanya mengikut arahan untuk merobohkan mana-mana pembinaan baru yang belum diduduki selepas perbincangan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri baru-baru ini,” jelasnya ketika dihubungi, semalam.
Suara Harapan