Abdul Khalid menyangkal dakwaan keretakan mula timbul di kalangan wakil rakyat dalam PKR negeri berikutan tindakan Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam mengkritik kepimpinannya secara terbuka.

"Kita memang akan membantu mangsa bencana alam dengan segera tetapi Menteri Besar tidak boleh membuat keputusan tanpa mengadakan perbincangan yang teratur.

"Sekarang kita sudah membuat keputusan mengenai bentuk bantuan dan modus operandi yang akan digunakan untuk menghulurkan bantuan," katanya.

Manikavasagam menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada media mengkritik Abdul Khalid kerana lambat bertindak menghulurkan bantuan kewangan dan bantuan lain kepada mangsa ribut di Parlimen Kapar semalam berbanding bantuan segera UMNO apabila Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib turun padang melawat mangsa.

Pada lawatan itu, Muhammad menghulurkan bantuan RM300 kepada 340 keluarga untuk digunakan bagi membaiki atap yang rosak selain mendapatkan bantuan 50 anggota tentera membantu penduduk membaiki kerosakan itu.

Selain itu Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) turut menghulurkan bantuan sebanyak RM100,000 untuk membolehkan mangsa bencana alam menggantikan atap baru.

Manikavasagam berkata, sebagai Menteri Besar, Abdul Khalid sepatutnya turun padang untuk melihat sendiri nasib lebih 200 keluarga yang hidup dalam serba kepayahan selepas dilanda ribut pada 1 September lalu.

Menurut Abdul Khalid, kerajaan negeri sudah mengenal pasti lebih 1,000 keluarga yang menjadi mangsa ribut luar biasa itu dengan menyediakan sejumlah peruntukan yang akan diagihkan segera.

Beliau meminta orang ramai menghulurkan bantuan termasuk pakaian, makanan dan peralatan persekolahan kerana kejadian itu membabitkan mangsa yang ramai.
Suara Harapan