KEUSAHAWANAN
Oleh Mohd Yahya bin Mat sahri

TAKRIF

Keusahawan boleh ditakrifkan sebagai suatu kebolehan, kemampuan serta kecenderungan untuk mencari peluang-peluang perniagaan, mengusahakan perniagaan tersebut, membuat pembaharuan atau pengubahsuaian yang berfaedah serta memenuhi keperluan dan kehendak pengguna.

PENGERTIAN USAHAWAN

Usahawan ialah orang yang melibatkan diri dalam sesuatu perniagaan atau perusahaan. Dia bertanggungjawab dalam mengusahakan sesuatu perusahaan samada dalam bidang pertanian, penternakan, pengeluaran atau perkhidmatan. Pendek kata usahawan ialah orang yang berusaha membuat sesuatu yang baru (kreatif), merancang dan mencipta sesuatu yang lebih baik (inovatif), mengatur serta mewujudkan pasaran dan sanggup menghadapi risiko.

Bagi seseorang usahawan, kepuasan utamanya ialah apabila dapat mencipta sesuatu kekuatan perniagaan yang mencabar. Motif keuntungan menjadi matlamat kedua. Baginya keuntungan merupakan sasaran dalam jangka panjang.

SIFAT USAHAWAN

Adakah sifat keusahawanan wujud disebabkan oleh faktor-faktor keturunan? Ataupun sifat ini boleh diasuh, dibimbing dan dilatih? Sifat-sifat keusahawanan boleh wujud pada setiap orang yang bekerja keras, berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita yang diingini. Antara sifat-sifat usahawan.

i)Dorongan Kejayaan

‘Rajin itu tangga kejayaan’, begitulah bunyi peribahasa yang menjelaskan bahawa setiap manusia yang rajin akan mencapai kejayaan. Begitulah juga halnya dengan usahawan, mereka yang rajin biasanya mudah mencapai kejayaan. Mereka juga harus gigih dalam menjalankan tugas, tidak kira samada tugas itu mudah ataupun rumit.

ii)Keyakinan Diri

Seseorang usahawan harus mempunyai keyakinan diri dalam mengusahakan sesuatu perniagaan. Keyakinan diri akan menjadikan seseorang usahawan berani untuk mengorak langkah dalam bidang perniagaan yang diminatinya. Sifat keyakinan diri membolehkan usahawan terus memupuk minatnya yang berterusan dalam perniagaannya. Ini dapat mengelakkan wujudnya sikap ‘hangat-hangat tahi ayam’ dikalangan usahawan.

iii)Berjimat Cermat

Sikap berjimat cermat yang ada pada seseorang usahawan membolehkannya menyimpan wang untuk dijadikan modal. Dengan cara ini usahawan tidak perlu meminjam daripada institusi kewangan ataupun beliau hanya membuat pinjaman yang minimum sahaja kerana mempunyai simpanan sendiri. Hal ini dapat mengelakkan usahawan daripada menanggung liabiliti yang berat, terutamanya bagi usahawan muda.

iv)Mengenal Dan Merebut Peluang

Usahawan seharusnya peka terhadap peluang-peluang perniagaan yang ada di sekelilingnya. Usahawan yang bijak akan sentiasa berusaha mencari peluang dan cekap mengenalpasti peluang yang sedia ada ataupun yang wujud. Usahawan perlu dapat memanfaatkan sesuatu situasi untuk dijadikan sebagai peluang perniagaan. Usahawan harus sedar bahawa peluang hanya datang sekali sekala, boleh dicari, boleh diwujudkan dan perlu direbut, kalau lambat bertindak maka terlepaslah peluang.

v)Membuat Keputusan Yang Bijak Dan Tepat

Kejayaan sesebuah perniagaan juga bergantung kepada keupayaan usahawan membuat keputusan yang bijak dan tepat. Keputusan yang dibuat harus sesuai dengan tempat dan masanya. Proses membuat keputusan bukanlah suatu perkara yang mudah kerana masa depan perniagaan akan hancur jika usahawan salah membuat keputusan. Usahawan perlu meneliti dan mengkaji pelbagai faktor sebelum membuat sesuatu keputusan. Usahawan juga perlu menganalisis kesan-kesan yang mungkin timbul daripada sesuatu keputusan yang hendak dibuatnya.

vi)Mengambil Risiko Yang Sederhana

Setiap usahawan terdedah kepada pelbagai jenis risiko dalam perniagaannya. Usahawan harus sanggup dan berhati-hati ketika mengambil sesuatu risiko. Usahawan yang bijak akan memastikan bahawa risiko yang diambilnya itu sesuai dengan kebolehan, kemampuan dan pengalamannya.

Sebelum mengambil sesuatu risiko, usahawan perlu merancang dan mengkaji untuk memastikan bahawa risiko tersebut adalah munasabah supaya kerugian dapat dielakkan atau diminimumkan.

vii)Tabah Dan Tenang

Di dalam menjalankan perniagaannya, usahawan harus tabah dan tenang semasa menghadapi sebarang cabaran dan masalah. Usahawan patut menerima cabaran dan masalah yang boleh diatasi. Kekurangan bukan merupakan suatu rintangan atau halangan yang kekal abadi. Usahawan harus melihatnya dari sudut lain untuk dijadikan sebagai peluang. Salah satu cabaran yang pasti dihadapi oleh usahawan ialah persaingan daripada pengusaha-pengusaha lain.

viii)Inovatif

Usahawan harus mempunyai idea-idea untuk menukarkan sesuatu barangan atau perkhidmatan yang sedia ada kepada sesuatu yang lebih baik. Dengan kebolehan ini, usahawan dapat memperbaiki barangan atau perkhidmatan supaya menepati kehendak dan citarasa pengguna. Melalui cara ini dia dapat mengatasi pesaing-pesaingnya. Umpamanya seseorang yang inovatif dapat mengusahakan tempurung kelapa menjadi senduk, tempat abu rokok, bunga hiasan dan bekas meletak pensil.

ix) Sentiasa Memandang Ke Hadapan

Usahawan tidak seharusnya berpuas hati dengan apa yang telah dicapainya. Mereka harus sentiasa berusaha dan bekerja kuat untuk memaju dan memperkembangkan perniagaannya serta tidak mudah putus asa. Usahawan perlu sentiasa berpegang kepada prinsip ‘gagal bukan bererti kalah’.

Usahawan seharusnya mempunyai kebolehan memandang jauh ke hadapan. Usahawan yang mempunyai sifat ini sentiasa berada selangkah di hadapan pesaing-pesaingnya. Dengan keadaan demikian usahawan berkenaan mempunyai kelebihan untuk mengatasi pesaing-pesaingnya. Keupayaan berpandangan jauh juga membolehkan seseorang usahawan merancang dan mengambil langkah-langkah untuk meminimumkan sebarang kemungkinan kerugian.

x)Bertanggungjawab

Sifat bertanggungjawab yang ada pada seseorang usahawan membolehkan perniagaannya berkembang. Disamping itu, usahawan mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat dan negara. Usahawan bertanggungjawab menjaga kebersihan alam dari pencemaran oleh kegiatan perniagaannya. Usahawan juga mempunyai tanggungjawab untuk membantu ahli-ahli masyarakat yang kurang bernasib baik.

xi)Kreatif

Kreatif bererti mencipta sesuatu yang baru. Kreativiti seseorang usahawan terdapat dalam pelbagai bentuk, bergantung kepada situasi dan jenis perniagaan yang dijalankan. Usahawan yang memiliki daya pemikiran yang kreatif sentiasa dapat menghasilkan pembaharuan dan kemajuan. Usahawan yang berfikiran kreatif dapat meneroka bidang-bidang baru yang belum diceburi oleh orang lain.

PERANAN USAHAWAN

Usahawan memainkan peranan penting untuk memastikan kejayaan perusahaannya. Disamping itu usahawan juga memainkan peranan yang penting terhadap masyarakat dan negara. Peranan yang dimainkan oleh usahawan adalah seperti berikut:

a)Mewujudkan peluang pekerjaan
b)Memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat
c)Menyumbang terhadap pembangunan ekonomi
d)Meningkatkan taraf hidup masyarakat
e)Penemuan dan ciptaan baru

i)Mewujudkan Peluang Pekerjaan

Usahawan dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat. Perusahaan yang dijalankannya dapat mewujudkan pelbagai jenis peluang pekerjaan.

ii)Memenuhi Keperluan Dan Kehendak Masyarakat

Manusia mempunyai keperluan dan kehendak yang pelbagai. Pada zaman moden ini manusia menggunakan wang untuk membeli barang-barang dan perkhidmatan bagi memenuhi keperluan dan memuaskan kehendak masing-masing. Usahawan memainkan peranan untuk mengeluar dan membekalkan barang-barang dan perkhidmatan bagi memenuhi permintaan orang ramai. Contohnya usahawan seperti Datuk Mohamed Kamal yang menjalankan perusahaan mengeluarkan barang-barang seperti bedak, syampu, losyen dan biskut untuk memenuhi permintaan pasaran. Begitulah halnya dengan usahawan-usahawan lain yang mengeluar makanan, pakaian, rumah serta pelbagai jenis perkhidmatan untuk memenuhi keperluan dan kehendak orang ramai.

iii)Menyumbang Terhadap Pembangunan Ekonomi

Usahawan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara. Aktiviti usahawan dalam sektor-sektor ekonomi yang penting seperti perladangan, perlombongan, pengilangan dan perkhidmatan telah membantu pembangunan ekonomi negara sejak sebelum merdeka lagi. Hasil keluaran dari sektor-sektor ini merupakan sumber pendapatan yang besar kepada pihak kerajaan. Dengan itu kerajaan berupaya membangunkan ekonomi negara dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti pendidikan, kesihatan, jalanraya, bekalan eletrik dan air untuk rakyat.

Usahawan boleh membantu negara mencapai matlamat Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian. Diantara peranan usahawan ialah meningkatkan pelaburan dalam bidang yang masih baru khususnya dalam sektor industri berat. Usahawan juga boleh membawa masuk teknologi moden dari luar melalui projek yang dijalankan secara usahasama. Disamping itu usahawan boleh mempertingkatkan lagi penglibatan mereka dalam program melatih sumber tenaga kerja mahir dan separuh mahir untuk memenuhi permintaan sektor perindustrian.

iv)Peningkatan Taraf Hidup

Usahawan memainkan peranan dalam peningkatan taraf hidup masyarakat. Dengan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan bererti lebih ramai ahli keluarga yang bekerja. Kesan dari itu, tingkat pendapatan isi rumah akan meningkat. Ini membolehkan mereka membeli pelbagai jenis barang seperti peti sejuk, televisyen dan kenderaan serta menggunakan pelbagai perkhidmatan seperti kemudahan telefon untuk kehidupan yang lebih selesa.

Tingkat pendapatan yang lebih tinggi juga bererti kecenderungan mereka untuk menabung akan meningkat. Ini membolehkan mereka menyediakan wang untuk membiayai pendidikan anak mereka. Bagi mereka yang belum memiliki rumah sendiri, mereka boleh menggunakan wang tabungan untuk membeli rumah impian mereka.

v)Penemuan Dan Ciptaan Baru

Usahawan yang kreatif sentiasa menghasilkan penemuan dan ciptaan baru yang akan membawa kepada pembaharuan dan kemajuan dalam bidang perniagaan. Daya kreatif dan inovatif seseorang usahawan akan dapat meluaskan penggunaan barang melalui pengubahsuaian. Banyak barang yang mempunyai pelbagai kegunaan kepada orang ramai telah dihasilkan daripada daya kreatif dan inovatif usahawan. Antara contoh barang tersebut ialah ketuhar gelombang mikro, telefon mudah alih, komputer peribadi dan penghawa dingin kereta.

NILAI-NILAI KEUSAHAWANAN DALAM MASYARAKAT

Pernahkah terfikir samada seseorang itu dilahirkan dengan nilai-nilai keusahawanan ataupun nilai-nilai tersebut diserap daripada masyarakat sekelilingnya? Walau apapun jawapan yang diberi, kita tidak dapat menafikan bahawa nilai-nilai yang menjadi norma masyarakat akan mempengaruhi seseorang usahawan untuk berjaya ataupun sebaliknya.

Secara umumnya cuba anda teliti nilai-nilai yang menjadi amalan masyarakat di Malaysia. Terdapat banyak nilai-nilai positif dalam kehidupan seharian kita yang boleh mendorong kepada kejayaan seseorang usahawan.Antara nilai-nilai berkenaan adalah :

a)Bergotong Royong
b)Menepati Janji
c)Berpesatuan
d)Berjimat Cermat
e)Jujur
f)Bertanggungjawab

i)Bergotong Royong

Amalan bergotong-royong yang menjadi satu daripada ciri-ciri masyarakat kita sudah wujud sejak dahulu lagi. Sesuatu tugas yang berat dan susah akan menjadi senang dan cepat disiapkan jika dilakukan secara bergotong-royong. Sifat bekerjasama ini boleh dijadikan teladan kepada para usahawan untuk berganding bahu dalam menjalankan sesuatu perusahaan yang tinggi risikonya. Mereka boleh berkongsi modal dan kepakaran supaya projek yang dijalankan akan berjaya. Contohnya projek industri berat yang memerlukan modal yang banyak serta berteknologi tinggi dijalankan secara usahasama diantara usahawan tempatan dengan usahawan luar negeri, seperti Perusahaan Otomobil Nasional (PROTON) di Shah Alam.

ii)Menepati Janji

‘Kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya’ begitulah bunyi peribahasa Melayu. Ini menunjukkan bahawa masyarakat kita sejak zaman dahulu lagi sangat mengambil berat tentang menepati janji. Nilai positif ini jika diamalkan oleh usahawan sudah pasti dapat membantu kejayaannya. Samada untuk menghadiri mesyuarat, menghantar bekalan atau menjual pada harga yang dipersetujui, dia mesti menepati janjinya. Seseorang usahawan yang menepati janji akan menjadikan dirinya mudah dipercayai. Ini akan mendorong lebih ramai orang untuk berurusniaga dengannya.

iii)Berpersatuan

Setiap manusia yang hidup dalam sesebuah masyarakat sentiasa berinteraksi di antara satu sama lain. Untuk memudahkan interaksi di kalangan anggota masyarakat maka wujudkan pelbagai persatuan. Kegiatan berpersatuan akan membolehkan aktiviti-aktiviti dijalankan secara teratur dan lebih berkesan. Begitu juga halnya dengan usahawan. Dengan menubuhkan persatuan mereka akan dapat mengatasi sebarang masalah dengan cepat dan teratur. Sebarang cadangan, pendapat ataupun permintaan yang dikemukakan melalui persatuan akan lebih mendapat perhatian daripada pihak kerajaan. Umpamanya cadangan supaya lebih banyak insentif diberi kepada usahawan-usahawan tempatan dalam bentuk pelepasan cukai dan perlindungan tarif mendapat perhatian positif dari kerajaan.

iv)Berjimat Cermat

‘Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit’, peribahasa ini menunjukkan bahawa masyarakat kita mengamalkan sikap berjimat-cermat. Ini juga merupakan nilai kemasyarakatan yang boleh membantu sifat keusahawanan. Setiap usahawan berusaha untuk menjimatkan perbelanjaan kerana setiap ringgit yang dapat dijimatkan bererti kemungkinan keuntungan bertambah. Jadi sudah tentu usahawan yang mengamalkan sikap berjimat-cermat akan lebih cenderung untuk mencapai kejayaan.

v)Jujur

Kejujuran merupakan satu amalan baik yang boleh membentuk sifat keusahawanan. Nilai ini memang menjadi amalan masyarakat sejak dahulu lagi. Seseorang yang jujur sentiasa dipercayai oleh orang lain. Sebaliknya orang yang biasa bercakap bohong dan melakukan perbuatan yang tidak jujur, tidak akan dipercayai oleh orang lain. Bagi seseorang usahawan, sifat jujur merupakan salah satu daripada asetnya yang paling bernilai. Usahawan yang jujur sentiasa dihormati oleh para pekerjanya dan mudah mendapat kepercayaan daripada pelanggan serta rakan-rakan perniagaannya. Sifat seperti ini juga memudahkannya menjalankan sesuatu perusahaan secara usahasama dengan usahawan-usahawan lain.

vi)Bertanggungjawab

Sikap bertanggungjawab yang terdapat dalam masyarakat tempatan juga merupakan nilai kemasyarakatan yang membentuk sifat keusahawanan. Sikap bertanggungjawab bukan sahaja ditunjukkan kepada para pekerjanya tetapi juga kepada masyarakat. Usahawan yang bertanggungjawab sedar akan sumbangan-sumbangan yang perlu mereka berikan kepada masyarakat. Usahawan memainkan peranan dalam pemeliharaan alam semula jadi daripada ancaman pencemaran. Mereka yang bertanggungjawab akan memastikan bahawa sisa-sisa buangan dari perusahaan milik mereka tidak mencemarkan kawasan persekitaran. Usahawan yang bijak dan bertanggungjawab akan mengambil langkah-langkah pencegahan pencemaran. Tanggungjawab usahawan kepada masyarakat juga termasuk membantu ahli-ahli masyarakat yang kurang baik dengan cara menghulurkan derma kepada pelbagai badan kebajikan.

Terdapat juga usahawan yang menyediakan kemudahan kepada orang ramai seperti pondok menunggu bas dan jejantas menyeberangi jalan yang sibuk.