Harapan Memuncak Untuk Sidang Copenhagen
By Anwar Ibrahim

Persidangan Iklim Copenhagen telahpun bermula. Seramai 15 ribu orang hadir ke persidangan selama 14 hari itu yang bermula semalam. Bertempat di Pusat Bella, para peserta akan membincangkan selain dari mendengar pendapat yang diutarakan tokoh penting seperti Dr Rajendra Pachauri dan Dr Jonathan Pershing. Ramai juga yang menanti kehadiran sahabat saya Al Gore yang berusaha memastikan adanya satu tindakan berkesan bagi menjamin kelansungan bumi yang didiami ini.
Malah tersebar kencang khabar angin bahawa Gore akan bertemu penghuni Rumah Putih sebelum Obama ke persidangan tersebut pada 18hb Disember ini. Jelas kelihatan kebimbangan serta keperihatinan masyarakat terhadap isu alam sekitar dan perubahan iklim. Harapan masyarakat antarabangsa juga begitu tinggi agar persidangan kali ini berjaya menyatukan pemimpin dunia agar memilih jalan demi kepentingan sejagat. Tidak guna pembangunan sekiranya merusakkan lingkungan begitu pesan tokoh Gerakan Islam Masyumi; almarhum Pak Natsir kepada kita. Saya juga mengharapkan yang terbaik buat semua bersempena Persidangan Copenhagen ini.
Keseimbangan adalah teras utama bagi menggarap persetujuan bersama. Pembangunan tidak boleh diabaikan sema sekali. Makanya kebelakangan ini, laporan seumpama Stern Review, berupaya menjadi garis panduan melakar dasar nasional yang mengembalikan hala tuju pembangunan ke landasan yang tepat di samping memastikan agenda alam sekitar dan kelansungan bumi tidak terabai. Laporan itu juga ada menyebut kegagalan pasaran antara sebab yang memberi kesan lansung kepada kemusnahan alam. Ketidakseimbangan pastinya tidak memberi manfaat kepada rakyat.
Perhatikan sahaja sikap teragak-agak kerajaan persekutuan menyangkuti tragedi tanah runtuh Bukit Antarabangsa. Hanya selepas mendapat tekanan, barulah kabinet bersetuju membenarkan laporan tragedi tersebut dibuka kepada awam. Siapa dan apakah yang sebenarnya mahu dilindungi? Rakyat atau tauke kaya yang berkepentingan?
ANWAR IBRAHIM
Layari http://suararohani.blogspot.com/