Orang awam layak jadi pengawal peribadi
Oleh Mohd Azis Ngahazis@bharian.com.my
MENEMBAK di lapang sasar PGA, Briged Tengah, Cheras.
Pengiring VIP mesti bertanggungjawab SETIAP kali melihat orang kenamaan (VIP) menghadiri majlis rasmi termasuk membabitkan menteri, kita akan terpandang kepada beberapa lelaki berpakaian kemas mengiringi mereka, berkaca mata hitam dan kelihatan serius tanpa banyak bicara. Mereka adalah pengawal peribadi mengiringi menteri atau pegawai kanan kerajaan yang selalunya dilantik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikategorikan sebagai sebahagian pasukan keselamatan beruniform.
Sekelompok lagi ialah orang awam yang berkelayakan menjadi pengawal peribadi selepas menjalani latihan khas secara berperingkat dikenali sebagai Program Pengiring Orang Kenamaan dikendalikan CPP Training & Services Sdn Bhd. Siapa sebenarnya pengawal peribadi dan apakah kriteria atau kelayakan yang membolehkan mereka diberi tanggungjawab menjaga keselamatan individu. Pengarah Urusan CPP Training & Services Sdn Bhd, Mahathir Manan, pengawal peribadi mestilah mempunyai susuk badan yang bersesuaian, tidak semestinya sasa atau tegap, tidak mempunyai rekod jenayah, berperwatakan matang serta mempunyai lesen memandu.
LATIHAN asas tempur tanpa senjata.
“Kerjaya ini tidak terlalu bergantung kepada saiz fizikal tetapi lebih kepada tahap agresif bagaimana dia bertindak menangani sesuatu situasi, tidak panik atau gelabah. Itu kriteria utama selain mesti menjalani latihan asas termasuk kemahiran menggunakan senjata api. “Pencapaian mereka akan dianalisis sama ada layak dibenarkan bekerja atau tidak. Kelayakan ini untuk orang awam, tidak termasuk pasukan anggota keselamatan beruniform. Ada juga bekas polis dan tentera yang menyertai kursus pengawal peribadi. “Mereka ini mempunyai kelebihan kerana sudah mahir dalam aspek persenjataan dan mempunyai pengetahuan undang-undang kerana setiap gerak geri mesti berasaskan undang-undang. Itu yang membezakan pengawal peribadi dengan kumpulan samseng atau kaki pukul (bauncer),” katanya. Peranan pengawal peribadi ialah melengahkan masa penyerang untuk menyelamatkan majikan sebelum dibawa keluar ke zon selamat. Mereka adalah orang tengah antara bahaya dan orang yang dijaga.
Pengawal peribadi juga harus mengetahui aspek protokol membabitkan cara berpakaian, penggunaan bahasa yang sesuai ketika berurusan dengan orang kenamaan serta menjaga prinsip sebagai pengawal peribadi iaitu mestilah amanah dan menjaga segala rahsia majikan. Aspek berpakaian menyentuh jenis pakaian sesuai untuk menghadiri majlis yang dihadiri majikan, misalnya pakaian batik untuk jamuan makan malam, baju kebangsaan untuk program di istana, jamuan Aidilfitri atau kematian, jaket ketika program tidak rasmi. “Mereka juga biasanya akan memakai cermin mata hitam sepanjang masa, ketika itulah mereka akan melakukan pengawasan, pemantauan sekeliling tanpa disedari kerana ia terlindung di sebalik cermin mata. Itu tidak wajib, tetapi diajar dalam membentuk pengawal yang baik. “Penggunaan bahasa juga penting, misalnya gelaran Datuk mesti disebut dengan jelas, bukan setakat sebut ‘Tok’ saja. Walaupun nampak remeh tetapi mencerminkan rasa tidak hormat. Mereka juga mesti tahu apa gelaran kepada pasangan orang kenamaan berpangkat, misalnya Datin, Datin Seri, Puan Seri,” katanya. Bukan setakat menjaga keselamatan dan budi bahasa, mereka juga dilatih sentiasa membawa barang keperluan kecil yang kadang kala dianggap remeh, misalnya tisu, pen, lampu suluh kecil dan pemetik api. Alasannya cukup mudah, ia sangat berguna ketika majikan memerlukan peralatan itu seperti untuk menandatangani dokumen atau menggunakan lampu suluh sebagai penunjuk arah ketika lampu terpadam. “Majikan kadang kala kerap menguji kejujuran pengawalnya dengan meletakkan duit atau barang berharga di dalam kenderaan. Jika tidak jujur, barang itu tentu dicuri. “Prinsip kerahsiaan juga sangat penting, mereka kena sentiasa berpegang kepada kata-kata ‘apa yang kamu nampak dirahsiakan, apa yang didengar kamu pekakkan, apa yang nak cakap, ... kamu bisukan. Sebab itu kita lihat pengawal peribadi jarang berbual kosong kerana ia berisiko mendedahkan rahsia termasuk jadual harian majikan,” katanya. Mengenai Program Kursus Pengenalan Pengiring Orang Kenamaan Siri 1/2008 yang diadakan di Dusun Eco Resort, Bentong, Pahang, seramai 26 peserta yang mempunyai pelbagai latar belakang mengambil bahagian selama lima hari. Ada yang bekerja sebagai pemandu, pengarah urusan syarikat, pengawal kelab malam dan bekas tentera. Mereka didedahkan maklumat berkaitan hak dan undang-undang, formasi dan bentuk kawalan, situasi cemas dan tindakan, perhubungan, merempuh halangan, jenis ancaman, keselamatan senjata, pemeriksaan kenderaan, fender (pergerakan naik dan turun kenderaan), pertolongan cemas, ketahanan fizikal dan mental, aktiviti air, imej dan protokol. Jika sebelum ini, setiap kali sesi ini diadakan, pasti rekod penyertaan akan tercalar disebabkan ada yang menarik diri akibat tidak tahan dengan latihan atau tercedera, tetapi kali ini semua peserta berjaya mencatatkan nama sebagai kumpulan pertama menghabiskan semua sesi latihan. Peserta didedahkan dengan kemahiran menyelamat di air, pertolongan cemas seperti pernafasan mulut ke mulut (CPR) kerana ia lebih sukar berbanding rawatan luka. Latihan tempur tanpa senjata juga ditekankan kerana kerjaya ini mendedahkan mereka kepada serang jarak dekat yang memerlukan pergerakan pantas melalui latihan menggunakan kaedah fleksibel, pantas misalnya teknik mengunci pergerakan musuh. “Aspek ketahanan mental dan kerahsiaan diuji melalui sesi soal siasat, mereka digari dan diasak bertubi-tubi, ada pendekatan keras dan ada menggunakan kaedah psikologi memainkan perasaan mereka. Daripada situ, kita akan tahu tahap ketahanan mereka,” katanya.
Info Aktiviti:
1. Menembak di lapang sasar Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Tengah, Cheras.
Tembakan sebutir dan bertubi-tubi menggunakan pistol jenis Glock 19.
2. Perlawanan bola sepak dinihari.
Bermula jam 3 pagi di dalam gelap, bertujuan mengecam rakan sepasukan dan semangat kerjasama.
3. Kedudukan pengawal dengan VIP:
Satu langkah bagi kategori rapat
Ketika makan, berdiri seberapa rapat dengan meja VIP dan mesti pada kedudukan yang mempunyai pandangan luas dan terbuka.
Suara Harapan