18 tahun dicadang had umur layak jadi pengarah syarikat
12/11/2008 5:31pm

KUALA LUMPUR 12 Nov. — Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Jelaing Mersat mengakui terdapat cadangan supaya had umur minimum bagi melayakkan seseorang dilantik menjadi pengarah syarikat swasta diturunkan kepada 18 tahun.

Beliau berkata cadangan itu dikemukakan Jawatankuasa Semakan Semula Undang-Undang Korporat dalam laporan muktamadnya bagi meminda Seksyen 122(2) Akta Syarikat 1965.

“Jawatankuasa itu mencadangkan supaya akta tersebut dipinda bagi menjelaskan secara spesifik bahawa 18 tahun adalah umur kelayakan minimum bagi membolehkan seseorang dilantik sebagai pengarah syarikat,” katanya semasa menjawab soalan Norah Abdul Rahman (BN-Tanjong Manis) di Dewan Rakyat hari ini.

Norah ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk menurunkan had umur kelayakan bagi memegang jawatan sebagai pengarah di syarikat swasta daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Ketika menjelaskan perkara itu, Jelaing berkata sebenarnya undang-undang membolehkan seseorang yang berumur 18 tahun dan ke atas menjadi pengarah sebuah syarikat swasta telahpun wujud di negara ini iaitu di bawah Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan hanya orang yang telah cukup umur saja yang layak menjadi pengarah syarikat.

Beliau berkata, Seksyen 2 Akta Umur Dewasa 1971 pula, menyatakan seseorang yang telah mencapai umur 18 tahun adalah dianggap telah berumur dewasa.

“Dalam konteks ini kerajaan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang bertanggungjawab mentadbir dan menguatkuasakan Akta Syarikat 1965 telah mengguna pakai tafsiran yang diperuntukkan oleh Akta Umur Dewasa 1971 dalam mentafsir umur kelayakan bagi pengarah syarikat,” katanya.

Kepada soalan lain Norah iaitu bagaimana kerajaan dapat membantu golongan belia yang berhenti sekolah awal dan ingin berniaga tetapi tidak dapat memegang saham syarikat secara sah, Jelaing berkata jawatankuasa semakan turut mencadangkan untuk mengubah bahagian tertentu dalam akta syarikat supaya hak rakyat sama ada muda atau dewasa sentiasa dilindungi.

— BERNAMA

Suara Harapan